PETALING JAYA: Bkay Nair Resources (BNR) akan memulakan perbincangan antarabangsa bagi mengetengahkan warisan serta keunikan tekstil Malaysia ke peringkat global seperti ibu kota fesyen Paris dan seluruh Eropah.
Pengarahnya, Bkay Nair berkata, BNR juga ingin membawa keunikan warisan negara yang ada kepada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) supaya Malaysia turut berada di pentas antarabangsa dalam dunia fesyen.
“Pengiktirafan yang diberikan oleh pertubuhan tersebut berpotensi untuk menerangi harta seni dan budaya negara kita di peringkat global, dan juga mempersembahkan kepada ibu kota fesyen terkenal seperti Paris dan seluruh Eropah.
“Kami bertujuan untuk memulakan perbincangan antarabangsa yang menonjolkan keunikan tekstil Malaysia, memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap warisan kami yang kaya di peringkat global,” katanya.
Pertunjukan fesyen Warisan Navarasa menampilkan gabungan tekstil tradisional negara dan rekaan fesyen kontemporari yang diinspirasi daripada sari.
Dalam pada itu, sebanyak tiga kategori anugerah disampaikan kepada pereka sebagai tanda penghargaan semasa hari kemuncak pertunjukan fesyen Warisan Navarasa anjuran BNR.
Tiga anugerah tersebut adalah anugerah pereka baharu yang dimenangi Naresh Yempati; anugerah pereka paling kreatif milik Kesheen Ragunathan dan anugerah keunggulan warisan Malaysia disandang Munir Yaha.
Sebanyak 77 penampilan hasil rekaan daripada 11 pereka yang berinspirasikan daripada pelbagai budaya Malaysia digayakan oleh 44 model.
Tambahnya, penciptaan sari Malaysia oleh pertunjukan fesyen Warisan Navarasa bukan sekadar usaha seni tetapi ia juga merupakan naratif kesinambungan budaya, kecerdasan kreatif dan keanggunan yang kekal.
Acara itu lebih daripada satu persembahan dan ia adalah perjalanan mendalam yang menggabungkan tradisi, inovasi dan bahasa fesyen yang universal. – UTUSAN