BNM komited pacu penggunaan e-pembayaran di Malaysia

BNM komited pacu penggunaan e-pembayaran di Malaysia

SUHAIMI Ali (tengah) bergambar semasa pelancaran Pasar Kitar Cashless Langkawi di Laman Padi, Jalan Pantai Chenang. -UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan antara Malaysia dengan Singapura, Thailand, Indonesia dan China hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), Payments Network Malaysia (PayNet) dan industri kewangan membantu negara mengoptimumkan penggunaan e-pembayaran dalam kalangan peniaga.

Kaedah pembayaran itu membolehkan pelanggan institusi kewangan dari empat buah negara terbabit membuat pembayaran secara terus dengan mengimbas kod QR DuitNow yang disediakan para peniaga di mana sahaja lokasi dalam negara ini termasuk Langkawi.

SEORANG kanak-kanak memegang kod QR ketika majlis pelancaran Pasar Kitar Cashless Langkawi di Laman Padi, Jalan Pantai Chenang. -UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN

BNM memaklumkan, medium pembayaran itu mempunyai banyak manfaat yang bukan sahaja dapat meningkatkan produktiviti peniaga, malah, mampu memperkasakan masyarakat tempatan.

Katanya, penerimaan pembayaran secara elektronik dapat meningkatkan kecekapan operasi perniagaan kerana pembayaran boleh dibuat serta diterima secara serta-merta dan pada bila-bila masa.

“E-pembayaran juga memudahkan penyelarasan rekod perniagaan dengan adanya rujukan pembayaran. Hal ini penting kerana rekod yang terselaras memudahkan penilaian ketika peniaga mahu memohon pembiayaan daripada institusi kewangan pada masa hadapan.

“Selain itu, e-pembayaran dapat membantu peniaga mengurangkan beban dan risiko mengendalikan wang kertas dalam jumlah yang banyak atau wang kertas yang rosak terutamanya di kawasan tumpuan pengunjung, contohnya Langkawi.

“Melalui cara itu, kos pengendalian wang tunai seperti kos pengurusan dan kos keselamatan dapat dikurangkan apabila hasil jualan yang diterima melalui e-pembayaran dapat dikreditkan terus ke akaun bank peniaga,” katanya.

Baru-baru ini, BNM melancarkan Pasar Kitar Cashless Langkawi yang merupakan sebuah projek Komuniti PayNet Cambah dan turut dihadiri Penolong Gabenor BNM, Suhaimi Ali di Laman Padi, Jalan Pantai Chenang, di sini.

Para peniaga di Langkawi kini sebahagian daripada lebih 1.7 juta golongan itu yang mendaftarkan kod QR mereka di seluruh negara sejak kempen e-duit dilancarkan oleh BNM pada tahun lalu.

BNM berkata, pihaknya dan industri pembayaran akan turut memastikan ketersediaan dan akses kepada instrumen e-pembayaran yang pelbagai seperti kad pembayaran, pembayaran dalam talian dan kod QR dengan kos yang kompetitif bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Kami berharap lebih banyak peniaga di Langkawi dan kawasan tumpuan lain mengambil langkah untuk mendigitalkan perniagaan agar tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan kerana e-pembayaran mampu menjadi teras utama dalam meningkatkan daya saing peniaga.

“BNM juga sedang berusaha melebarkan jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan dengan Filipina dan Korea Selatan kerana pengunjung dari negara-negara tersenarai boleh guna aplikasi perbankan mudah alih sedia ada mereka untuk mengimbas kod QR DuitNow peniaga di Malaysia bagi membuat pembayaran,” katanya.

Tambahnya, pengunjung Singapura, Thailand, Indonesia dan China antara yang menyumbang kepada lebih 18 juta pelancong ke Malaysia pada 2019. Oleh itu, banyak manfaat kepada peniaga melalui e-pembayaran antaranya menarik pengunjung berbelanja kerana kadar pertukaran mata wang asing kompetitif selain pembayaran dalam mata wang ringgit dengan jumlah yang tepat tanpa perlu menyediakan wang kecil bagi pemulangan baki.

Dalam aspek keselamatan, BNM menjelaskan beberapa langkah utama diambil untuk menangani penipuan kewangan seperti bank-bank utama yang beralih daripada kaedah penghantaran kata laluan sekali sahaja (OTP) kepada kaedah pengesahan yang lebih kukuh.

“Talian khusus juga diwujudkan untuk pelanggan melaporkan insiden penipuan kewangan bagi membolehkan tindakan segera diambil. Pelanggan juga boleh melaporkan kes penipuan perbankan dalam talian kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997.

“BNM juga sentiasa memberi penekanan dalam aspek kesedaran berhubung penggunaan e-pembayaran yang berhemat dan selamat termasuk langkah pencegahan seperti tidak berkongsi maklumat perbankan dengan orang lain serta tidak memuat turun aplikasi daripada sumber tidak sah ke dalam peranti mudah alih,” katanya.

Pada masa sama ujarnya, ahli-ahli Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) serta industri pembayaran turut giat mengadakan program tahap celik kewangan pengguna selaras dengan slogan kempen e-Duit iaitu ‘Selamat, Senang dan Segera’.

“Kempen ini menekankan aspek pendidikan supaya duit pengguna terus terjaga dan selamat semasa menggunakan e-pembayaran. Malah, Bulan Literasi Kewangan (FLM) 2023 yang berlangsung sejak awal bulan ini juga menekankan kepentingan celik kewangan digital yang bertujuan membantu rakyat membina ketahanan kewangan dan memanfaatkan perkembangan ekonomi digital dengan yakin,” katanya.

Mengulas tentang yuran transaksi DuitNow QR, BNM memaklumkan, fi tersebut bertujuan untuk menampung kos dan pelaburan yang diperlukan untuk menyelenggara sistem pembayaran bagi mengekalkan standard perkhidmatan dan keselamatan yang tinggi.

“Dalam perniagaan, apa jua cara penerimaan pembayaran akan melibatkan kos, baik tunai atau e-pembayaran. Melalui perkhidmatan pembayaran elektronik, lazimnya peniaga akan dikenakan fi transaksi iaitu kadar diskaun peniaga (MDR). MDR adalah fi yang biasa berkaitan dengan penyediaan perkhidmatan pembayaran elektronik. Pembayaran tunai pula melibatkan kos tambahan untuk overhead dan pentadbiran termasuk kos berasaskan masa.

“MDR untuk DuitNow QR jika dikenakan adalah rendah atau lebih rendah daripada fi untuk kad debit. Peniaga juga tidak perlu membayar kos berulang untuk sewaan terminal jualan yang dikenakan untuk saluran pembayaran berasaskan kad,” katanya.

Selain itu, bank-bank utama dan penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank yang mencakupi lebih 80 peratus perniagaan dan yang menerima pembayaran melalui DuitNow QR telah mengumumkan pengecualian fi transaksi ke atas perniagaan mikro dan kecil.

“PayNet juga telah memperuntukkan sumber bagi membantu membiayai kos yang ditanggung oleh penyedia perkhidmatan terutamanya penyedia bukan bank yang terus menawarkan pengecualian penuh kepada peniaga sektor itu yang menerima pembayaran secara DuitNow QR,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya