BN disaran tarik diri bertanding PRK Parlimen Kemaman - Utusan Malaysia

BN disaran tarik diri bertanding PRK Parlimen Kemaman

najib
RAZALI IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) disaran menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan bagi mengelak kekalahan memalukan dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu pada Ogos lalu.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, rakyat sudah memberi signal jelas menolak Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam PRK tersebut dan situasi sama akan berulang lagi di PRK Kemaman nanti.

Menurutnya, BN sukar memenangi PRK Parlimen Kemaman, malah Perikatan Nasional (PN) optimis calon Pas akan melakar kemenangan dengan majoriti yang jauh lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Masih belum terlewat untuk UMNO buat keputusan menarik diri kerana hari penamaan calon masih lambat lagi.

“Inilah masanya untuk UMNO mengutamakan kepentingan rakyat yang akan berdepan banjir dalam musim tengkujuh.

“Dalam keadaan sekarang, apakah yang lebih penting untuk BN? Sama ada rakyat atau teruskan PRK sedangkan keputusan PRK Parlimen Kemaman sudah boleh dijangka (Pas akan menang), untuk elak kekalahan memalukan, lebih baik BN tarik diri,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan manakala tarikh penamaan calon pula pada 18 November ini.

Pada keputusan PRU-15 November lalu, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi, selepas memperoleh sebanyak 65,714 undi sekali gus menewaskan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said yang memperoleh sebanyak 38,535 undi.

Dua lagi calon yang bertanding dalam Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat 506 dan 8,340 undi.

Dalam pada itu, Razali berkata, Bersatu akan bekerja sedaya upaya untuk membalas semula jasa dan sumbangan Pas yang banyak membantu calon Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos lalu.

Menurutnya, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal yang berada dalam Parlimen Kemaman, beliau akan memastikan kemenangan bergaya untuk kerusi itu kekal menjadi milik Perikatan Nasional (PN) dan Pas khususnya.

“Dulu ketika saya bertanding DUN Kijal di Kemaman dalam PRN, Pas banyak bantu untuk merampas kerusi tersebut dari UMNO (yang dimenangi Datuk Seri Ahmad Said),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya