Bicara 1MDB hampir sampai ke penghujung

Bicara 1MDB hampir sampai ke penghujung

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes penyelewengan dana RM2.28 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan bayangan bahawa perbicaraan kes itu sudah hampir sampai ke penghujungnya.

Bayangan tersebut dinyatakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib pada perbicaraan kes hari ini apabila menyatakan pihaknya akan memanggil saksi terakhir mereka, Pegawai Penyiasat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Superintendan Kanan Nur Aida Arifin.

“Saksi seterusnya ialah Nur Aida, tetapi kami tidak boleh memanggilnya lagi kerana masih terdapat dokumen yang perlu diterima masuk sebelum saksi ini memberi keterangan. Selepas itu, kami sudah boleh menutup kes kami,” kata pendakwa itu.

Dalam masa sama, Ahmad Akram turut memberitahu, penutupan kes di akhir kes pendakwaan itu juga bergantung kepada sesi soal balas pembelaan.

‘Pengesahan’ penutupan kes pendakwaan turut diberikan oleh seorang lagi pendakwa raya, Timbalan Pendakwa Raya, Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Bahrin Omar.

“Pada ketika ini (Nur Aida adalah saksi akhir) kecuali dan sehingga perkara lain muncul,” kata Kamal Bahrin tanpa memberikan sebarang penjelasan lanjut.

Pendakwaan memaklumkan demikian selepas Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah meminta mereka membawa saksi baharu selepas pihak pembelaan tidak bersedia untuk menyoal balas saksi pendakwaan ke-48, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner Foo Wei Min kerana peguam bela utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak hadir hari ini.

Pada prosiding hari ini, Najib diwakili peguam-peguam bela, Alaistair Brandah Norman dan Wan Mohammad Arfan Wan Othman.

Pihak pembelaan pada ketika ini masih belum habis menyoal balas lima orang saksi.

Lima saksi itu ialah saksi pendakwaan kesembilan (SP9), bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir (SP12); bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang (SP39); bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (SP46) dan penganalisis Bank Negara Malaysia, Adam Ariff Mohd. Roslan (SP47).

Terdahulu, pihak pembelaan membantah beberapa dokumen diterima masuk sebagai bukti dan akan berhujah mengenainya pada prosiding minggu hadapan.

Pembelaan juga memberikan `jaminan’ akan meneruskan prosiding dengan soal balas sekiranya mahkamah tidak membuat keputusan serta merta pada tarikh akan datang.

Perbicaraan bersambung 24 Oktober ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN