Berniaga makanan, minuman di puncak bukit - Utusan Malaysia

Berniaga makanan, minuman di puncak bukit

CHE Wan Nurul Huda Che Wan Yusof (kiri) melayan pengunjung yang membeli makanan dan minuman dijualnya di puncak Bukit Jelutong, Kampung Kepah, Hulu Terengganu. – UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seorang wanita memanfaatkan hujung minggu dengan berniaga makanan dan minuman kepada peminat aktiviti mendaki di puncak Bukit Jelutong, Kampung Kepah dekat sini.

Che Wan Nurul Huda Che Wan Yusof, 28, berkata, seawal pukul 7 pagi pada setiap Jumaat dan Sabtu, dia sudah berada di puncak bukit berketinggian kira-kira 200 meter dari paras laut untuk memulakan perniagaan.

Menurutnya, ia bermula sekitar tiga bulan lalu setelah sekadar suka-suka berniaga untuk kenalan bapanya, Che Wan Yusof Che Wan Non, 59, yang kerap mendaki bukit tersebut.

“Kebetulan puncak bukit ini tanah milik ayah seluas kira-kira satu hektar yang diusahakan tanaman getah. Pemanda­ngan menarik berlatar belakang gumpalan awan dikenali awan karpet, menjadikan ia tumpuan kaki-kaki ‘hiking’.

“Hari Jumaat, Sabtu serta cuti umum pengunjung ramai. Saya ambil peluang berniaga juadah seperti laksa, nasi lemak, kuih-muih serta air kelapa di atas puncak bukit ini yang dibawa naik menggunakan pacuan empat roda ayah.

“Waktu berniaga sekitar pukul 7 hingga 11 pagi. Kehadi­ran penggemar aktiviti mendaki membuka pintu rezeki untuk saya, sambil menikmati juadah mereka boleh layan panorama alam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambah Che Wan Nurul Huda, walaupun berdepan kesu­karan laluan untuk sampai ke puncak namun dia tetap bersemangat terus mencari rezeki di atas bukit kerana permintaan diterima begitu menggalakkan.

“Bagi pengunjung yang tidak membawa makanan, sekurang-kurangnya mereka boleh dapatkan atas puncak bukit dan seterusnya nikmati hidangan bersama ahli keluarga atau kenalan,” katanya.

Sementara itu Che Wan Yusof berkata, pada masa ini, Bukit Jelutong kian dikenali setelah dia memuat naik gambar di media sosial pada dua tahun lalu ke­rana adanya daya tarikan utama iaitu awan karpet.

Katanya, kehadiran orang ramai ke lokasi tersebut menjadikan Bukit Jelutong sebagai salah satu lokasi pelancongan baharu di Hulu Terengganu bagi penggemar aktiviti mendaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya