SHAH ALAM: Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menafikan dakwaan terdapat campuran beras plastik dalam produk syarikat itu seperti yang ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam media sosial.
Bernas dalam satu kenyataannya menjelaskan, pihaknya memastikan pematuhan terhadap piawaian tinggi serta pemantauan kualiti ketat di setiap peringkat pemprosesan beras import dan tempatan.
“Semua jenis beras import yang dibawa masuk ke dalam negara perlu melalui syarat ketat dan proses pemeriksaan kualiti yang rapi bermula di negara pembekal sehinggalah sampai ke negara ini.
“Bekalan beras yang dibawa masuk ke negara ini turut dibekalkan dengan sijil pengesahan kualiti dan spesifikasi beras yang dipantau rapi yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Ia bertujuan bagi mencegah sebarang bentuk penyelewengan yang tidak diingini,” katanya, hari ini.
Terdahulu tular dalam media sosial melalui dakwaan oleh seorang pengguna yang mendakwa membeli nasi lemak yang dimasak daripada beras dipercayai diperbuat daripada plastik.
Dakwaan tersebut dibuat selepas gumpalan nasinya yang dilemparkan ke permukaan keras tidak menyebabkannya pecah atau berterabur, sebaliknya kekal dalam keadaan sama.
Bagaimanapun, Bernas dalam kenyataan sama memberi jaminan beras import yang dibekalkan oleh syarikat itu adalah tuilen dan selamat untuk dimakan.
“Bernas menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai berita palsu yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan atau mendapati wujudnya unsur-unsur yang mencurigakan ke atas produk beras Bernas yang dibeli, emelkan aduan rasmi anda di [email protected].
“Bernas tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan atas mana-mana pihak yang menyebarkan tuduhan tidak berasas untuk menjatuhkan reputasi syarikat,” tegasnya. – UTUSAN