Benarkah ada tarikh luput bagi pelakon wanita di layar? - Utusan Malaysia

Benarkah ada tarikh luput bagi pelakon wanita di layar?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SITI Saleha baru berumur 14 tahun ketika melakukan komersial pertamanya. Monitor, kamera, lampu bersusun, mikrofon dan jurusolek di set penggambaran terasa canggung pada awalnya.

Namun lama kelamaan gadis kelahiran England itu mula berasa selesa dan yakin bahawa mungkin dia memang berjodoh lama untuk beraksi di hadapan kamera.

Mewarisi kecantikan Eurasia membuat Siti Saleha Mohd. Baharum, dirisik rumah produksi untuk sesi ujibakat lakonan. Rezeki memihak kepadanya apabila terus mendapat watak utama menerusi sebuah drama bersiri yang ditayangkan di saluran TV8.

Ketika itu Saleha baru berumur 18 tahun. Saleha tidak pernah merancang menjadi pelakon, cuma mungkin inilah ketentuan Tuhan.

Graf karier Saleha berkembang sangat baik jika dinilai dari tahun-tahunnya bergelar anak seni. Mungkin sebab dia tidak mendaki populariti dengan kontroversi, sebaliknya selalu menampilkan bakatnya dalam pelbagai sisi membuatkan wanita itu tetap diingati.

Dari watak gadis anak orang kaya sehinggalah seorang peguam, doktor, gadis kurang upaya, wanita tersiksa dalam rumah tangga dijelmakan dengan cemerlang oleh Saleha.

KEJUJURAN DIRI DAN POPULARITI

Terkini, menerusi drama pertama Amazon Original dari Malaysia, That Cover Girl, Saleha membawakan watak seorang usahawan bernama Sofi yang sangat popular, hidup dilimpahi kemewahan dan serba sempurna.

Namun semua itu hanya pura-pura yang dipamerkan di kandungan media sosial. Hakikatnya, wanita itu tidak pernah bahagia di belakang kamera.

Saya kemudian menggali dari sudut pandang Saleha yang juga sebagai seorang selebriti mengenai dunia populariti yang mudah membuat orang terlupa untuk jujur dengan diri sendiri.

“Sejak saya mula terlibat dalam dunia komersial sejak usia 14 tahun, saya tidak pernah merasakan hidup dalam populariti ini melelahkan. Mungkin kerana saya faham bagaimana mahu membawa label ‘popular’.

“Populariti tidak pernah menjadi keinginan utama saya pada mulanya. Takdir saya dalam bidang ini memang dimulakan dengan cinta saya yang besar dalam bidang lakonan dan Alhamdulillah, populariti datang seiringan.

“Saya belajar bahawa jika kita berusaha keras dengan bakat yang kita ada, populariti akan datang. Saya tidak menafikan menjadi seorang yang dikenali juga penting untuk sentiasa signifikan dalam bidang ini,” katanya kepada Pancaindera.

Berbeza dengan artis yang hanya menunggang populariti tanpa mengasah bakat, mereka mungkin perlu memikirkan lebih banyak strategi dan kontroversi baharu setiap masa demi kekal relevan. Namun itu bukanlah cara seorang Siti Saleha.

“Adat menjadi artis atau seseorang yang dikenali di media sosial, sangat penting untuk selalu berjaga-jaga.

“Ada bermacam cara untuk menjadi relevan. Tapi cara saya bukanlah melalui publisiti murahan.

“Kadangkala saya akan melakukan detox dengan tidak membuka media sosial. Cuma itulah, kadang-kadang baru seminggu tidak kongsi perkembangan terbaru, peminat sudah mula tanya adakah saya okay. Sebenarnya saya okay sahaja cuma zaman kini meninggalkan media sosial belum dianggap sesuatu yang normal,” katanya ketawa.

TARIKH LUPUT ARTIS WANITA DI LAYAR

Jika melihat kepada perbincangan dalam dunia lakon layar di Hollywood, rata-rata kajian menunjukkan kemuncak populariti seseorang pelakon lelaki adalah sehingga 43 tahun, berbanding pelakon wanita yang hanya berakhir pada usia 30 tahun.

Bagi Seleha, bakat seseorang pelakon itu masih diperlukan jika mutu dan kualitinya bagus, namun mungkin dipersembahkan dalam karakter berbeza sesuai usia.
Pelakon itu juga bersyukur walaupun usianya sudah melebihi 30 tahun, dia masih ditawarkan naskhah yang hebat daripada penerbit dan pengarah yang mempercayai mutu lakonanya.

“Tarikh luput populariti seseorang pelakon sebenarnya bergantung kepada sejauh mana tekad dan usaha mereka untuk kekal di dalam industri.

“Kita boleh tengok para pelakon seperti Jasmin Hamid dan Liza Abdullah yang masih bertahan sampai ke hari ini cuma mungkin karakter yang dibawanya berubah kepada seorang ibu.

“Saya sejujurnya terbuka dan gembira membawakan watak ibu yang tidak pernah saya bawakan sebelum ini. Terpulang kepada kita bila nak berhenti berlakon,” jelasnya.

PELAKON JUGA MANUSIA

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Asian Academy Creative Awards (AACA 2023) itu juga mengakui, jadual lakonan yang bersusun dari satu karakter ke karakter yang lain tanpa rehat kadangkala membuatkannya rasa terbeban.

Ketika itulah Saleha akan pulang mencari keluarga dan rakan terdekatnya untuk mendapatkan kembali semangatnya yang makin malap.

“Betul, bila terlalu kerap berlakon, saya akan mula rasa seperti ‘tenggelam’. Namun tidaklah sampai membuat saya berasa sunyi atau mengganggu kesihatan mental.

“Selalunya saya akan ambil cuti daripada berlakon dan kembali bertemu rakan-rakan terdekat serta keluarga. Bila luangkan masa bersama mereka, berbual antara satu sama lain, saya akan kembali normal semula.

“Dalam kata yang mudah, sebenarnya kita juga manusia biasa memerlukan masa untuk diri sendiri,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya