PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah tersohor, Sabri Yunus selamat mendirikan rumah tangga dengan aktress, Angeline Tan dalam satu majlis tertutup pagi tadi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sabri berkata, mereka sudah tiga tahun merancang untuk mendirikan rumah tangga namun menunggu kesediaan Angeline untuk memeluk Islam.
“Alhamdulillah, benar kami baru sahaja bernikah sebentar tadi. Tak tahu macam mana nak cerita, tetapi kami berdua bersyukur majlis pernikahan ini dipermudahkan.
“Kami sudah kenal lama, sejak 1992 lagi. Tetapi kami mula betul-betul rapat tiga tahun lalu. Malah, dua-dua pun pernah merasakan kehilangan. Susah senang, sihat sakit saling menemani.
“Tetapi saya tunggu dia untuk sedia peluk Islam. Alhamdulillah, awal Oktober hari itu dia memeluk Islam dan kami terus merancang untuk menikah hari ini,” ujarnya teruja.
Sabri dan Angeline mula berkenalan menerusi sitkom popular era 90an, Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang menampilkan mereka sebagai Lucy dan Wan Ismail Golok.
Gambar pernikahan mereka tular di media sosial hari ini namun ada yang menganggap itu sekadar babak dalam drama atau filem baharu.
Dalam pada itu, Sabri juga bersyukur apabila anak dan keluarga kedua-dua belah pihak merestui niat mereka untuk mendirikan rumah tangga.
“Alhamdulillah, anak-anak kami merestui. Malah, keluarganya juga hadir ke majlis pernikahan kami.
“Saya berharap agar doa-doa yang baik daripada kalian dimakbulkan. Banyak perkara yang mungkin dia (Angeline) tak tahu. Berilah peluang kami berdua belajar.
“Apa yang penting keredaan dia menerima agama baharu dan juga niat kami berdua untuk sama-sama melayari bahtera perkahwinan ini hingga akhir hayat,” ujarnya.
Ditanya sama ada majlis resepsi akan diadakan, bapa kepada tiga orang anak itu menjawab;
“Tidaklah. Hanya sekadar majlis pernikahan,” katanya.-UTUSAN