Belanjawan 2024: Tekad jelas kerajaan utamakan rakyat - Utusan Malaysia

Belanjawan 2024: Tekad jelas kerajaan utamakan rakyat

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Belanjawan 2024 jelas memperlihat tekad Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan agenda dan dasar yang memberi keutamaan rakyat secara keseluruhan khususnya untuk menjaga kebajikan dan hal ehwal Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam memperjuang kesejahteraan Sabah dan Sarawak menyaksikan peruntukan untuk kedua-dua negeri berkenaan terus meningkat dalam Belanjawan 2024 berbanding 2023.

Katanya, peruntukan pembangunan untuk Sarawak meningkat kepada RM5.8 bilion berbanding RM5.6 bilion pada 2023, manakala peruntukan bagi Sabah meningkat kepada RM6.6 bilion berbanding RM6.5 bilion.

“Penurunan kuasa untuk projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal Sabah dan Sarawak dan peningkatan kadar pemberian khas interim juga membuktikan komitmen padu Kerajaan Perpaduan dalam memperkasakan pembangunan infrastruktur di kedua-dua negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Fadillah berkata, Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2024 turut terus komited dalam meneruskan rundingan dan melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, ia antaranya Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 telah diluluskan di Dewan Rakyat bagi memperuntukkan wakil Kerajaan Negeri Sabah yang dinamakan Ketua Menteri Sabah dan seorang wakil Kerajaan Negeri Sarawak yang dinamakan Premier Sarawak selaras dengan hasil Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963.

“Di samping itu, Kerajaan Persekutuan bersama-sama Kerajaan Sabah telah mencapai kesepakatan berhubung penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang bakal berkuat kuasa pada 3 Januari 2024.

“Kerajaan Persekutuan juga sedang berunding untuk merealisasikan penyerahan Pelabuhan Bintulu dan pengoperasian Perkhidmatan Udara Desa (RAS) kepada Kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, kementerian menyambut baik pengumuman Belanjawan 2024 terutamanya kepada golongan yang terlibat dalam sektor agrikomoditi.

“Belanjawan 2024 semalam memberi fokus kepada pembangunan Sektor Agrikomoditi dengan secara keseluruhannya sebanyak RM732.7 meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM428.31 juta serta perbelanjaan pembangunan pula sejumlah RM304.39 juta.

“Sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab terhadap Sektor Agrikomoditi negara, kementerian berazam memastikan kemampanan jangka panjang menerusi pelaksanaan reformasi dasar demi kelangsungan Sektor Agrikomoditi serta mengangkat darjat ekonomi rakyat terutamanya pekebun kecil yang merupakan nadi penghasilan produk komoditi negara agar sumber kekayaan negara dapat diimbangi secara saksama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya