PETALING JAYA: Sejumlah RM1.2 bilion disediakan antaranya untuk menyalurkan pelbagai bentuk bantuan seperti penjagaan Orang Kurang (OKU) kronik terlantar, tidak upaya bekerja dan elaun pekerja OKU.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus melindungi kesejahteraan dan mendaya upaya OKU untuk mandiri.
“Tahun hadapan, kadar elaun pelatih OKU yang mengikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti akan ditingkatkan kepada RM300 sebulan berbanding RM150.
“Peningkatan ini akan memanfaatkan lebih 18,000 pelatih OKU dengan tambahan peruntukan 30 juta ringgit.
“Bagi memberikan manfaat kepada usahawan OKU mikro, kemudahan pembiayaan khas oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) disediakan sebanyak RM50 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat di sini hari ini. – UTUSAN