BUKIT MERTAJAM: Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan esok perlu benar-benar memberi impak lonjakan ekonomi negara sekali gus memastikan rakyat tidak bergelut untuk meneruskan kehidupan.
Presiden Pertubuhan Usahawan Muslim Pulau Pinang, Datuk Dr. Muhamad Farid Saad berkata, kuasa membeli kebanyakan rakyat Malaysia ketika ini agak rendah berbanding sebelumnya.
“Justeru, saya berharap kerajaan memfokuskan kepada usaha untuk memulihkan ekonomi negara pada belanjawan kali ini, itu yang paling penting,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Farid turut berharap dana yang disediakan untuk usahawan terutama yang melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (IKS) lebih banyak dan sampai kepada sasarannya pada Belanjawan 2024 ini.
“Kebanyakan usahawan kecil ketika ini terpaksa meminjam untuk mendapatkan dana bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan masing-masing.
“Ini tidak begitu membantu usahawan kecil untuk terus berkembang,” katanya yang juga Pengerusi Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir).
Dalam pada itu, seorang peruncit, Aidil Fadzly Abdul Razak, 36, juga berharap ekonomi negara kembali stabil didorong oleh pembentangan Belanjawan 2024 esok.
“Bagi peniaga runcit seperti saya, apabila terpaksa mengeluarkan modal yang tinggi untuk mendapatkan barangan daripada pembekal dan sebagainya, kadang-kadang timbul rasa serba salah jugak.
“Nak naikkan harga, bimbang pelanggan saya terbeban. Kalau kekalkan harga jualan yang lama, saya pula terpaksa menanggung rugi.
“Kadang-kadang saya terpaksa ambil keputusan untuk mencari alternatif lain termasuk untuk tidak lagi menjual barangan itu. Tapi, sampai bila?” katanya yang telah menjalankan perniagaan runcit sejak enam tahun lalu.
Suri rumah yang juga peniaga kuih kecil-kecilan, Safiyah Baharom, 39, pula berharap kerajaan dapat mengawal barang keperluan asas seperti beras, tepung, gula dan minyak daripada terus naik hingga membebankan pengguna serta peniaga kecil sepertinya.
“Sebenarnya, kamilah yang paling terkesan kerana kami adalah peniaga kecil dan pengguna pada masa yang sama.
“Pendapatan kami juga bergantung semata-mata kepada hasil jualan kami yang tak seberapa. Jadi, saya berharap tidak ada lagi kenaikan harga barang yang melampau selepas ini,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu. – UTUSAN