KANGAR: Kerajaan negeri berharap agar peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 tidak disalurkan secara terus melalui Pejabat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, sebaliknya kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu bekerjasama bagi memastikan segala perancangan pembangunan di Perlis melalui Belanjawan 2024 itu dapat dilaksanakan secara bersama.
“Apabila peruntukan itu disalurkan melalui ICU, kami di peringkat kerajaan negeri pun tidak tahu mengenai pemberian berkenaan.
“Jadi, janganlah turun terus melalui ICU kerana kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu bersama dalam memastikan perancangan pembangunan di negeri ini melalui Belanjawan 2024 dapat dilaksanakan sebaiknya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Tahun 2023 di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan beberapa peruntukan khas buat negeri Perlis menerusi pembentangan Belanjawan 2024.
Antara peruntukan yang diumumkan adalah membabitkan pemuliharaan lokasi pelancongan Tasik Timah Tasoh, menaik taraf jalan kampung dan desa di Tambun Tulang serta beberapa lagi.
Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, buat masa ini, kerajaan negeri berpuas hati dengan peruntukan Belanjawan 2024 itu dan mengharapkan pelaksanaannya dapat direalisasikan sebaiknya.
“Kerajaan negeri tiada masalah untuk kerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan dalam Belanjawan 2024 itu dapat dijayakan,” katanya.-UTUSAN