GEORGE TOWN: Peruntukan bernilai RM393.8 bilion yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024 mestilah dibelanjakan dengan cekap tanpa sebarang ketirisan.
Sehubungan itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, satu mekanisma untuk menyelia dan memantau pelaksanaan Belanjawan 2024 perlu dijalankan bagi memastikan peruntukan belanjawan tersebut dibelanjakan dengan baik agar hasil yang dirancang tercapai.
”Kami berharap untuk melihat kejayaan pelaksanaan Belanjawan 2024, belanjawan tahun ini difikirkan dengan baik meliputi kebanyakan aspek kritikal masyarakat Malaysia,” katanya di sini hari ini.
Kerajaan memperuntukan RM393.8 bilion dalam Belanjawan 2024 yang dikenali sebagai Belanjawan Madani Kedua, sekali gus menyaksikan belanjawan tertinggi yang pernah dibentangkan dalam sejarah negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada jumlah tersebut, RM303.8 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM90 bilion untuk belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.
Mengulas lanjut, Mohideen berkata, Belanjawan 2024 disifatkan sebagai menyeluruh memandangkan ia adalah peralihan kepada ekonomi rendah karbon dan bentuk tenaga mampan.
Katanya, Belanjawan 2024 itu turut menyentuh konflik hidupan liar, pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar selain melanjutkan perkhidmatan bas henti-henti ke laluan penumpang yang rendah di kawasan luar bandar.
”Rancangan juga sedang dibuat untuk menyediakan bekalan air bersih khususnya di Kelantan, Sabah dan Labuan,” katanya.
Tambahnya, CAP juga menyokong cadangan duti eksais ke atas minuman bergula yang dinaikkan daripada RM.040 sen kepada RM0.50 sen kerana menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, 3.6 juta orang dewasa (18 tahun ke atas) menghidap diabetes dengan 49 peratus (3.7 juta) kes adalah tidak didiagnosis.
”Hasil daripada duti eksais ini akan digunakan untuk merawat diabetes serta menyokong pusat dialisis dan ia merupakan satu langkah yang baik.
”Langkah kawalan untuk mencegah penyeludupan produk arak dengan mengehadkan pemindahannya ke pelabuhan tertentu adalah amat dipuji sebagaimana pengenaan import rokok untuk pasaran domestik dibenarkan dengan muatan kontena penuh,” katanya. – UTUSAN