SUNGAI PETANI: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor terus berharap Kerajaan Persekutuan akan meluluskan projek berimpak tinggi untuk negeri itu melalui Belanjawan 2024 khususnya projek yang dicadangkan dengan Inisiatif Kewangan Swasta (PFI).
Mengambil contoh projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), beliau berkata, projek besar itu sangat penting bagi menjayakan pelan The Greater Kedah 2035.
“Kita harap Belanjawan 2024 yang diumumkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini menggembirakan rakyat Kedah.
“Beberapa projek yang kita cadangkan dengan pembiayaan PFI diharap akan diumumkan pada pembentangan belanjawan petang ini,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Perhimpunan Aman Solidariti Mempertahankan Bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa di Dataran Zero, hari ini.
Ujar Muhammad Sanusi, sekiranya kedudukan kewangan negara tidak mengizinkan, Kerajaan Persekutuan boleh membenarkan kerajaan negeri bekerjasama dengan pihak swasta bagi menjayakan projek yang bernilai tinggi itu.
Sebelum ini, Perdana Menteri ketika sidang Dewan Rakyat memaklumkan, kerajaan tidak mempunyai kemampuan kewangan membangunkan KXP, selain mendedahkan syarikat tempatan yang dipilih melaksanakan projek terbabit turut tidak berupaya berbuat demikian.
Muhammad Sanusi bagaimanapun dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya 18 firma berminat membangunkan projek KXP sekiranya syarikat tempatan yang dipilih tidak berupaya melaksanakannya.
Beliau turut menyifatkan tindakan Anwar mendedahkan nama syarikat tempatan berkenaan di Dewan Rakyat pada Mac lalu sebagai tidak tepat. –UTUSAN