Bekas pemilik syarikat didakwa kemuka dokumen palsu tuntut

Bekas pemilik syarikat didakwa kemuka dokumen palsu tuntut insentif Penjana

S. Kamala Segaran hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan mengemukakan dokumen palsu. UTUSAN/IHSAN SPRM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pemilik syarikat rekaan dalaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 (Penjana) berjumlah RM9,500.

S. Kamala Segaran, 47, yang diisytihar muflis meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut selaku pemilik syarikat Tech Train Consultancy didakwa memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikat berkenaan bertarikh 25 Jun, 23 November dan 21 Disember 2021.

Ia bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 dan 3.0 Perkeso sebanyak RM4,340, RM2,260 dan RM2,900 daripada dua Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Pejabat, Mira Sabriena Romzain serta Farah Nurellysha Mat Jasri.

Kamala Segaran didakwa berniat memperdayakan agensi itu yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut mengandungi pernyataan palsu mengenai nama pekerja Baharu, walhal senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut bukan pekerja Tech Train Consultancy.

Kesalahan didakwa dilakukan di Wisma Perkeso, di Jalan Tun Razak, Kampung Baru, di sini pada 25 Jun 2021, 23 November 2021 dan 21 Disember 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah yang palsu.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa SPRM, Yasri Yahya mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

“Pendakwaan juga menetapkan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam, R. Babu Naidu yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana dia diisytiharkan muflis sejak 2014.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin untuk semua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti yang dimohon pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 6 November depan untuk sebutan kes.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN