Bekas kontraktor didakwa kemuka dokumen palsu kepada Perkeso

Bekas kontraktor didakwa kemuka dokumen palsu kepada Perkeso

MUHAMMAD Fauzi Abdul Latiff (dua dari kanan) dibawa  pegawai SPRM keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didakwa mengemukakan dokumen palsu kepada Perkeso. - UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang bekas kontraktor syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen sini, hari ini atas dua pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mendaftar nama 14 individu ke dalam sebuah syarikat yang tidak wujud.

Muhammad Fauzi Abdul Latiff, 30, turut meminta dibicarakan atas dua pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu sebagai pemilik Syarikat MFL & Associates Enterprise didakwa memperdayakan Perkeso dengan mengemukakan dokumen palsu kepada seorang kakitangan agensi itu untuk mendaftarkan nama 14 nama pekerja dalam Sistem Penjana Kerjaya 2.0. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat untuk memperdaya dan mengelirukan Perkeso bahawa dokumen tersebut mengandungi butiran palsu sedangkan 14 penama tersebut bukan kakitangan syarikat berkenaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Unit Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan, Perkeso Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada 23 Mac dan 23 April 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Seksyen itu membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. 

Bagi dua pertuduhan pilihan, lelaki itu didakwa sebagai pemilik syarikat sama, telah menggunakan dua Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Insentive Programme) sebagai tulen, dalam Sistem Penjana Kerjaya 2.0 pada tarikh dan tempat yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua- duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan tarikh sebutan pada 1 Disember ini untuk serahan dokumen.

Mahkamah turut membenarkan syarat  tambahan agar tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM di sini setiap awal bulan manakala pasport ditahan sehingga kes selesai.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat-syarat tambahan.

Bagaimanapun, peguam Mohamed Mustafha memohon anak guamnya diberikan jaminan rendah atas alasan tertuduh memberi kerjasama ketika disiasat SPRM.

Ujar peguam bela, bapa kepada seorang anak itu yang juga seorang penyelia turut menanggung ibu bapanya dengan pendapatan RM3,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN