Bekalan beras di Kelantan, Terengganu belum stabil - Utusan Malaysia

Bekalan beras di Kelantan, Terengganu belum stabil

SEORANG pengguna meninjau harga beras apabila hanya beras import dijual di salah sebuah pasar raya di Tumpat, Kelantan, semalam. – UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekalan beras putih di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu dilihat masih belum stabil apabila kedai-kedai runcit dan pasar raya terputus bekalan bahan mentah itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rak beras putih tempatan masih kosong berbanding beras import yang ‘berlambak’.

Di TUMPAT, KELANTAN, seorang pekerja sebuah pasar raya dikenali Linda berkata, stok bekalan beras tempatan bukan sahaja kurang malah habis dijual dengan cepat disebabkan permintaan tinggi ketika ini.

“Letak sahaja di atas rak, beras tempatan licin sekelip mata. Saya tidak menolak kemungkinan ia berlaku disebabkan pengguna membuat pembelian panik,” katanya ketika ditemui semalam.

Seorang pengguna, Fatmawati Abdul Aziz, 40, berkata, situasi itu menyebabkan dia membeli beras import walaupun harga­nya agak tinggi berbanding tempatan ketika ini.

Menurutnya, walaupun terbeban dengan kenaikan harga beras import, dia terpaksa berbuat demikian kerana tidak mempunyai pilihan.

“Sudah banyak hari saya mencari beras putih tempatan, namun bekalan tiada. Sebalik­nya rak beras dipenuhi dengan import,” katanya.

Sementara itu Rohani Yaacob, 51, berkata, sebagai pengguna dia menyambut baik usaha kerajaan memberi subsidi kepada beras import.

Katanya, dengan langkah itu masalah beras import mahal dapat diatasi.

“Pengguna juga ada pilihan sama ada menggunakan beras tempatan atau import sekiranya beras import murah. Disebabkan beras import mahal saya mula beralih kepada beras tempatan,” katanya.

Sementara itu, di KUALA NERUS, TERENGGANU, bekalan beras tempatan masih belum pulih sepenuhnya dengan peniaga kedai runcit dan beberapa pasar raya hanya memiliki stok beras import pada masa ini.

Seorang peniaga kedai runcit, Haliza Nor@Aziz, 39, berkata, dia menerima beras tempatan kali terakhir pada Jun lalu dan masih menunggu bekalan baharu yang ditempah daripada pembekal.

Menurutnya, situasi itu pada awalnya tidak memberi impak ekoran harga beras import masih stabil sebelum kenaikan harga berlaku bermula 1 September lalu.

“Sejak Jun lagi saya membuat tempahan beras tempatan dan pembekal memaklumkan akan membuat penghantaran namun sehingga kini saya belum me­nerimanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya