Baung ekor merah ancam spesis ikan tempatan - Utusan Malaysia

Baung ekor merah ancam spesis ikan tempatan

Baung ekor merah
NORAISYAH Abu Bakar (kanan) melihat spesis ikan baung ekor merah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Semua pihak diminta berhenti melepaskan spesis ikan asing terutama baung ekor merah di dalam perairan umum yang boleh membahayakan ekosistem kewujudan hidupan air di sungai sedia ada.

Ini kerana, spesis baung ekor merah itu bersifat agresif, invasif dan bersaiz lebih besar daripada ikan tempatan sekaligus menggantikan habitat di dalam sungai.

Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, pihaknya gusar melihat peningkatan populasi ikan seumpama itu yang disifatkan isu dan cabaran yang perlu dihadapi ketika ini 

“Ikan asing itu kebanyakannya bersifat pemangsa dan memakan apa sahaja ikan tempatan termasuk lampam sungai dan terbui. Ia juga mampu bertahan pada keadaan air tercemar dan mudah membiak sekali gus menyebabkan spesis ikan tidak agresif akan pupus,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Kelmarin, sebanyak 10,000 benih ikan baung dilepaskan di Ibu Empangan Sungai Bernam, Hulu Selangor menerusi program Pemuliharaan Sungai Bersama Komuniti Nelayan myKP Sungai Karang.

Program pelepasan benih ikan ke perairan umum itu bertujuan memulihara dan menjamin kelestarian sumber perikanan darat selain menjadi pemangkin industri perikanan rekreasi.

Noraisyah memaklumkan, sejak 2018 sebanyak 1.3 juta benih ikan asli di lepaskan dekat perairan-perairan di Selangor.

“Sebanyak 55 peratus daripada jumlah itu melibatkan pelepasan benih udang galah. Manakala, selebihnya pula spesies lampam sungai, baung, terbui, jelawat, kelah, tengas dan patin,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat bersama memelihara sumber ikan asli bagi memastikan ekosistem sentiasa berada dalam keadaan baik demi kesinambungan sumber perikanan dan generasi akan datang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya