KLANG: Seorang pemandu maut akibat tercampak ke dalam parit selepas bas ekspres dipandunya membawa lima penumpang lain terbabas dan melanggar sebatang pokok berhampiran Hospital Columbia Asia di sini, awal pagi tadi.
Mohd. Zaini Mohamad Sah, 49, disahkan maut di tempat kejadian, seorang parah dan seorang cedera ketika bas tersebut dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur (KL) Sentral menuju ke Klang Sentral sebelum terbabas sendiri dekat Jalan Mahkota 1/KU2, Mutiara Bukit Raja.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.24 pagi tadi sebelum mengerahkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang ke tempat kejadian.
“Pemandu bas berkenaan seorang lelaki berusia 49 tahun tercampak ke dalam parit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Sementara seorang penumpang parah akibat patah kaki kanan dan dua lagi cedera ringan.
“Kejadian tersebut berlaku berhampiran Hospital Columbia Asia Klang. Mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menerima rawatan, tiga lagi yang tidak mengalami kecederaan dibawa ke terminal Klang Sentral oleh syarikat bas berkenaan,” katanya, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao memaklumkan, tiga lagi penumpang pulang ke rumah masing-masing selepas kemalangan berlaku.
“Kes disiasat dibawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN