Bapa didenda RM10,000 rotan anak tiri gara-gara tidak faham

Bapa didenda RM10,000 rotan anak tiri gara-gara tidak faham Matematik

GAMBAR hiasan. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga nasi lemak didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merotan anak tirinya berusia tujuh tahun selepas berang kanak-kanak lelaki itu gagal menjawab soalan Matematik.

Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman denda terhadap bapa tiri berusia 38 tahun itu, selepas lelaki tersebut mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Bapa tiri itu juga diperintah berkelakuan baik dengan bon jaminan tanpa cagaran selama lima tahun serta menjalani khidmat kaunseling keibubapaan yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Selain itu, tertuduh diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, peniaga nasi lemak tersebut didakwa memukul mangsa yang ketika itu berusia enam tahun menggunakan rotan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah rumah di Wangsa Maju, di sini pukul 6 pagi pada 23 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan ibu bapa lain supaya tidak melakukan perbuatan sama.

“Gelaran ayah (ayah tiri) bukan lesen untuk memukul mangsa sedemikian bagi tujuan mendisiplinkannya.

“Mangsa beritahu ayahnya pukul hanya kerana kesalahan Matematik, dia tidak sepatutnya dipukul seperti itu. Mangsa memerlukan kasih sayang seorang ayah selepas penceraian ibu dan bapa kandungnya,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Arik Zakri Abdul Kadir yang mewakili tertuduh memohon denda yang rendah kerana anak guamnya menanggung keluarga manakala isterinya yang juga ibu kandung mangsa kini mengandung empat bulan.

Berdasarkan fakta kes, pada awalnya, Bahagian Pasukan Sekolah Klinik Kesihatan Kuala Lumpur hadir di sebuah sekolah rendah di sini untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dan pemberian imunisasi vaksin untuk murid tahun satu di sekolah itu.

Jururawat bertugas dan pegawai perubatan membuat pemeriksaan ke atas mangsa dan menemui kesan lebam pada bahagian lengan.

Pegawai perubatan bertugas membuat pemeriksaan lebih terperinci dan mendapati terdapat kesan parut berbirat pada pergelangan tangan, belakang badan beserta lebam di bahagian kaki.

Doktor berkenaan bertanya kepada mangsa mengenai kecederaan itu dan mangsa sambil menangis menyatakan selalu dirotan oleh ayahnya.

Doktor tersebut menghubungi guru kelas mangsa dan mencadangkan pihak sekolah melaporkan perkara itu kepada pihak JKM melalui Talian Kasih.

Fakta turut menyatakan, bapa tiri dan ibu mangsa berkahwin pada 2020 dan pasangan itu berniaga nasi lemak manakala mangsa bangun seawal pukul 5 pagi setiap hari untuk membantu membuat persiapan seperti mengelap telur dan menyusun barang jualan.

Pada kejadian 23 Jun lalu, mangsa membantu bapa tiri dan ibunya sebelum membuat kerja sekolah.

Tertuduh kemudian mendekati mangsa dan mengajarnya namun bertindak merotan kanak-kanak itu kerana berang anak tirinya tidak dapat menjawab soalan Matematik yang diajar.

“Mangsa selanjutnya dihantar ke sekolah seperti biasa sebelum mengadu kepada rakan bahawa dia dipukul ayahnya kerana tidak dapat menjawab soalan Matematik,” menurut fakta kes.

Guru kelas mangsa kemudian menyapu minyak pada lukanya dan beberapa pegawai JKM hadir ke sekolah itu serta membawa mangsa berjumpa doktor.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya