PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan meneliti langkah terbaik bagi mengatasi insiden banjir kilat melanda Zoo Negara pada 18 Oktober lalu.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya belum mendapat laporan penuh mengenai insiden itu, namun akan melihat isu itu bagi mengelak insiden berulang.
“Insiden itu baru berlaku. Kita akan dapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu untuk melihat apa puncanya dan fikirkan cara terbaik atasi masalah itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Persidangan Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2023 di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 50 orang pengunjung dilaporkan terperangkap semasa banjir kilat melanda Zoo Negara baru-baru ini, namun mereka diselamatkan oleh petugas dengan menaiki lori dan traktor.
Ekoran kejadian itu, pihak Zoo Negara menanggung kerugian lebih RM300,000 untuk memperbaiki kerosakan fasiliti seperti jambatan pecah dan peralatan pejabat termasuk komputer.
Punca air naik di kawasan Zoo Negara adalah disebabkan limpahan dari Sungai Kemensah yang tidak dapat menampung walaupun sungai tersebut sudah diperbesarkan. – UTUSAN