KANGAR: Bangunan-bangunan lama di sekitar negeri ini akan dipulihara dengan dicat dan diceriakan semula untuk dijadikan sebagai tarikan pelancong luar yang berkunjung ke Perlis.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pihaknya telah membangkitkan perkara itu sewaktu Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri sebelum ini bagi membolehkan bangunan-bangunan lama tersebut menjadi daya penarik buat pelancong luar.
Beliau berkata, kerajaan negeri dapat membantu menyediakan sedikit sumbangan untuk mengecat semula bangunan-bangunan lama berkenaan namun pemiliknya juga perlu bersama-sama mengambil inisiatif untuk pelaksanaan tersebut.
“Dalam mesyuarat Exco, saya sudah lontarkan perkara ini dan jawatankuasa terlibat akan melihat kembali untuk mencari peruntukan.
“Bangunan-bangunan lama khususnya di pekan Kangar akan dipulihara dengan dicat dan diceriakan semula untuk tarikan pelancong,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Kangar Street Art@Fiesta Seni@Retro Fest 2023 di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad dan Pengerusi Persatuan Pelukis Negeri Perlis (PPNPs), Yaakob Abd Aziz.
Program berkenaan yang berlangsung selama tiga hari itu menyediakan pelbagai pengisian menarik buat pengunjung antaranya seperti demostrasi melukis, pameran dan jualan.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, penganjuran program sedemikian juga merupakan usaha dilakukan pihak penganjur bagi menghidupkan semula kawasan pekan Kangar yang kebiasaannya suram pada waktu malam.
“Kita di pihak kerajaan negeri juga akan cuba untuk mencungkil kembali budaya-budaya Perlis selepas ini seperti alu bunyi, selampit, Awang Batil, hadrah dan pelbagai lagi.
“Malah kita juga akan susun dan bentuk semula budaya-budaya ini agar ia dapat dihidupkan semula sekali gus dikenali oleh anak-anak muda masa kini,” katanya.-UTUSAN