PERMATANG PAUH: Pemergian pelakon popular, Badrul Muhayat, 55, amat mengejutkan ramai pihak terutama rakan artis kerana Allahyarham tidak menunjukkan tanda-tanda mengalami sebarang masalah kesihatan.
Salah seorang rakannya, Nadia Kesuma berkata, arwah ada menghidap penyakit kencing manis, namun keadaannya semakin sihat berbanding sebelum ini.
“Kami semua berada di sini sejak Khamis lalu bagi menyertai Karnival UDA di Jalan Baru, Perai yang bermula semalam.
“Arwah seorang yang amat ‘energetic’, suka begurau dan mesra dengan semua orang.
“Namun, saya terkilan kerana tidak sempat menyapanya kerana sibuk menyiapkan ‘booth’ jualan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah inap di Taman Pauh Jaya, di sini hari ini.
Nadia berkata, mereka dimaklumkan mengenai pemergian arwah oleh isterinya pagi tadi.
“Isterinya mengejutkan arwah kira-kira pukul 7.30 pagi, namun arwah mengatakan beliau mahu berehat sebentar.
“Apabila isterinya cuba mengejutkannya sekali lagi, tubuh arwah sudah sejuk dan pasukan perubatan turut melakukan CPR kira-kira setengah jam sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, jenazah dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) oleh kenderaan polis kira-kira pukul 2.55 petang sebelum diputuskan sama ada proses bedah siasat akan dijalankan atau sebaliknya.
Difahamkan, jenazah akan dimandi dan dikafankan di Masjid Jalan Baru dekat sini, dan dibawa pulang ke kampung halamannya di Johor Bahru. – UTUSAN