PETALING JAYA: Pelakon, Badrul Muhayat meninggal dunia pagi tadi di Pulau Pinang.
Khabar duka itu dikongsi pelakon, Anne Abdullah di Facebooknya.
Anne yang dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan Badrul meninggal dalam tidur sekitar pagi tadi.
“Benar, saya dapat pengesahan dia sudah meninggal dunia. Perkara itu disahkan pelakon, Aida Aris yang kini juga berada di Pulau Pinang bersama arwah untuk urusan perniagaan.
“Isterinya, Norhayati Zulkapli mengesahkan dia meninggal sekitar pagi tadi. Arwah tidak sedarkan diri selepas beberapa kali cuba dikejutkan isterinya.
“Paramedik dipanggil dan telah melakukan prosedur yang perlu. Namun Badrul disahkan sudah tidak bernyawa,” kongsinya.
Anne dalam pada itu memaklumkan jenazah ketika ini masih ditempatkan di homestay di mana dia dan isterinya tinggal sementara laporan polis dibuat.
“Selepas itu baru dapat diputuskan sama ada hantar jenazah ke hospital di Pulau Pinang atau dibawa pulang ke Johor Bahru,” katanya. – UTUSAN