PETALING JAYA: Teater “BADANG” yang dipentaskan selama tiga hari berakhir malam ini mengangkat tema seorang yang hidupnya seperti anak raja dilantik menjadi Dato Laksamana namun menjadi semakin tamak dan sombong akan kelebihanya.
Pementasan Teater Pintar Randai “Badang” diterbitkan oleh Siti Rohayah Atan (SitiRoy Tan) dibantu oleh pengarahnya, Mohamad Yusmar Afeendi Yusof dan Zaim Zainal sebagai penulis skrip.
Antara barisan pelakon yang membarisi teater tersebut ialah Zahid Baharuddin, Juhara Ayob, Eyman Hady Eyzendy, Aiman Syawal Merican Shaiful Izham, Ammar Asyraaf Mohd Haizul, Aryan Afeef Mohd Haizul, Nur Adriana Damia Azzry Ariff, Khaleeda Harinto, Hana Qaleysha Hafzan Zannie, Nur Eyzmie Sofea Eyzendy, Eylham Haqqi Eyzendy, Nur Qaisara Rizal dan Airis Natrah Shaiful Izham.
Pementasan teater ini adalah salah satu usaha mengangkat martabat seni persembahan tradisional iaitu randai kepada masyarakat terutamanya generasi muda kerana ia lebih bersifat akademik berbanding diketengahkan secara komersial.
Selain itu, ia juga merupakan program bagi pengisian Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK 2023) yang telah diperkenalkan sejak tahun 2022 bagi membantu industri seni persembahan dan kebudayaan negara.
Tambah lagi, ia memberi peluang jalinan kerjasama antara agensi kerajaan iaitu Kementerian Pelancongan, Kesenian & Kebudayaan (MOTAC) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Sanggar Pendeka serta pemain swasta CTRA Production. –UTUSAN