KOTA KINABALU: Polis Sabah merampas ayam dan daging sejuk beku serta beberapa produk makanan laut beku dalam serbuan di dua premis di Penampang pada Sabtu.
Nilai keseluruhan produk makanan sejuk beku yang dirampas mencecah RM19.61 juta.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinain Jais berkata, pihaknya menjalankan serbuan di dua premis di Kampung Nambazan dan Jalan Penampang-Papar kira-kira pukul 10 pagi Sabtu.
Beliau berkata, serbuan dijalankan kerana disyaki kedua-dua premis itu memiliki produk dan hasil haiwan tanpa lesen yang sah, meragukan status halal serta dipercayai melanggar peraturan-peraturan kebersihan makanan.
“Serbuan di dua premis itu mendapati, gudang tersebut digunakan sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan ayam dan daging sejuk beku serta pelbagai makanan laut beku dipercayai untuk tujuan pasaran tempatan.
“Dalam serbuan ke atas kedua-dua premis ini, seramai 13 orang dipercayai pekerja telah diperiksa iaitu sembilan lelaki dan empat perempuan berusia antara 23 hingga 38 tahun. Namun, tiada tangkapan dibuat ke atas pekerja-pekerja tersebut,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Serbuan itu melibatkan pelbagai agensi termasuk Biro Jenayah Hidupan Liar dan Perisikan Siasatan Khas; Jabatan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman; Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah; Bahagian Siasatan Jenayah 1bu Pejabat Polis Daerah Penampang; Pasukan Polis Marin Wilayah 4, Sabah; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN); Seksyen Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Menurut Shahurinain, pemeriksaan ke atas lima tempat penyimpanan sejuk beku (chiller), pasukan serbuan telah merampas kotak-kotak yang mengandungi berbagai bahagian ayam sejuk beku, itik, tulang lembu, daging kambing, sotong, nuget, ikan dan bebola daging pelbagai jenama.
Keseluruhan produk makanan sejuk beku dianggarkan bernilai RM19,611,620 dan jumlah keseluruhan rampasan pula termasuk kenderaan jenis lori dan forklift kira-kira RM20,461, 120.
Kesemua rampasan diserahkan kepada pegawai operasi Seksyen Veterinar Sabah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15 (1) Enakmen Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.-UTUSAN