Ayai Illusi tak tunjuk kesakitan - Utusan Malaysia

Ayai Illusi tak tunjuk kesakitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYANYI, Zaharuddin Kamaruddin atau Ayai Illusi membuktikan usia bukan penghalang untuk terus memberikan persembahan yang terbaik lebih-lebih dalam penglibatannya menerusi program All Stars Gegar Vaganza (GV10).

Kelincahan dan kemampuan Ayai memberikan persembahan bertenaga dalam program tersebut membuatkan orang lupa usia penyanyi ini yang sudah pun menginjak 61 tahun.

Ayai bersyukur kerana masih dipinjamkan oleh Tuhan kesihatan dan nikmat untuk terus menyanyi dan membuat persembahan.

Penyanyi kelahiran Johor Bahru ini sendiri tidak percaya dia mampu bangkit selepas diuji dengan empat penyakit kronik yang menyerang serentak beberapa tahun lalu.

“Ibarat putus harapan apabila diserang bengkak usus, masalah buah pinggang tahap empat, kandungan asid urik tinggi dan masalah hati. Satu bulan saya terlantar sakit. Sampai satu tahap pernah ke tandas di hospital dengan berkerusi roda.

“Saya hanya mampu berdoa. Allah kirimkan sahabat yang menyarankan saya amalkan air buah Kulim setiap pagi, tengah hari dan malam berserta selawat untuk merawat masalah buah pinggang.

“Alhamdulillah, prestasi buah pinggang saya semakin baik begitu juga kesihatan saya. Saya bersyukur, ramai rakan menolong saya dan mendoakan, termasuk dari isteri dan anak-anak,” kongsinya.

Ayai tahu sejauh mana kemampuannya. Dia merasakan perlu berlaku jujur, mendengar kata tubuh dan tidak memaksa diri melakukan sesuatu yang di luar kebolehannya.

“Saya akan cakap terus terang kalau saya tak mampu menyanyi. Pernah saya diundang membuat persembahan sempena GV7. Ketika itu saya alami bengkak kaki yang menyukarkan saya berjalan.

“Tapi, dalam keadaan itu, saya tahu saya masih boleh menyanyi, berikan persembahan yang baik tanpa memperlihatkan kesakitan yang saya tanggung ketika itu,” jelasnya.

KENANG JASA M.NASIR

AYAI memulakan kerjaya seni pada 1986 selepas menyertai Bintang RTM sebelum menyertai kumpulan Illusi pada 1988.

Bersama kumpulan itu, Ayai melakar pelbagai pencapaian, menerusi penerbitan beberapa luah hits seperti Puisi Cinta (1988), Segalanya Ku Terima dan Suara Cinta (1989) serta Inang Bujang dan Dara (1993).

Penyanyi ini bergerak solo pada 1995 menerusi penghasilan album Ayai Illusi. Ditanya siapa insan yang menggilap bakatnya, jawab Ayai, Datuk M. Nasir.

Sampai sekarang Ayai merasa terhutang budi dengan kebaikan penyanyi legenda itu yang banyak membimbingnya sewaktu awal pembabitan dahulu.

“Dia yang gilap bakat saya. Kami kenal pada 1984, dia juga selalu menonton persembahan saya ketika saya menyanyi di sebuah lounge di Jalan Meranti Merah, Tebrau satu masa dahulu.

“M. Nasir pernah memaklumkan keinginannya untuk menerbitkan sebuah album untuk saya. Tetapi disebabkan ketidaksediaan dan enggan mengguris hati rakan lain, saya tolak pelawaan itu secara baik.

“Album yang diberi judul Kerana itu diberikan kepada kumpulan Alleycats yang kemudiannya menjadi antara album kumpulan itu yang berjaya di pasaran.

“Saya masih ingat dikata bodoh kerana menolak tuah. Tetapi saya anggap itu rezeki yang ditentukan bukan milik saya,” kongsinya.

Kata Ayai, dia sehingga kini memandang tinggi M.Nasir. Katanya, peluang berkongsi pentas bersama penyanyi itu dalam konsert GV10 minggu lalu menjadi impian yang sekian lama disimpannya.

“Itu adalah momen paling bermakna kerana lama saya menyimpan hasrat untuk berduet dengannya. Ia adalah impian yang menjadi kenyataannya,” katanya lagi.

ILLUSI TAK MUNGKIN BERGABUNG SEMULA

DALAM pada itu, Ayai memaklumkan tiada kemungkinan untuk kumpulan Illusi bergabung semula selepas dia meninggalkan kumpulan itu sekitar era 90-an.

“Anggota lain masih ada, semua sudah pun berusia. Tapi untuk kami kembali bersama agak mustahil .

“Dalam kumpulan itu saya yang paling muda, itupun sekarang sudah berumur lebih 60 tahun.

Tambahan salah seorang bekas anggota, Leman sudah tidak sihat seperti dahulu.

“Anak-anak muda sekarang pun jarang nak tengok penyanyi berusia macam kami. Jadi, tidak mungkin untuk kami bergabung kembali,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya