KUALA LUMPUR: Dewan Panggung Sari Istana Budaya dimeriahkan dengan kehadiran 800 peminat yang tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan istimewa penyanyi tersohor, Datuk Zainal Abidin sempena konsert Tiba Masa yang berlangsung malam semalam.
Penyanyi bertaraf legenda itu sekali lagi membuktikan kredibilitinya menerusi persembahan lagu-lagu nostalgia yang dinyanyikannya sepanjang empat dekad mewarnai industri seni tanah air.
Rata-rata penonton berpuas hati dengan rangkaian lagu dipersembahkan antaranya Memori, Hanya Di Radio, Suraya, Pelangi, Kita Serupa, Inayah, Khayalan, Manis, Hijau, Jauh, Tiba Masa yang dipersembahkan malam tadi.
Konsert yang berlangsung dua jam itu dihidupkan tanpa gimik, hanya garapan muzik memukau hasil gabungan barisan pemuzik berpengaruh dibawah pimpinan figura ternama, Mac Chew.
Perjalanan persembahan Zainal pada malam itu juga tersusun kemas, ibarat garis masa yang merangkumkan pengalaman sepanjang 40 tahun Zainal sebagai penghibur yang versatil.
Zainal pada masa yang sama membuktikan umur hanyalah sekadar angka kerana pada usia 64 tahun, kemampuannya beraksi penuh bertenaga di atas pentas selayaknya menerima pujian.
Anak kelahiran Johor Bahru ini menghiburkan dengan telatah dan lawak jenaka bersahaja di atas pentas yang diselangi usikan serta gurauan bersama pemuzik iringan. Kepandaian beliau berkomunikasi dengan penonton turut mendapat pujian.
Beliau dalam pada itu turut berkesempatan memberi penghormatan kepada sahabat baiknya yang juga penyanyi dan pelakon, Allahyarham Adibah Nor menerusi sesi tribute istimewa berlatarkan persembahan lagu Terlalu Istimewa.
Mac yang ditemui selepas konsert tersebut meluahkan rasa lega dan gembira dengan penganjuran Tiba Masa yang disifatkannya, berjaya.
“Zainal adalah pendorong yang tidak pernah gagal melunaskan kemahuan seninya. Auranya yang dirasakan malam ini tidak berlaku ketika sesi latihan, hanya kita saksikan ketika beliau menguasai persembahan.
“Saya gembira dengan reaksi penonton yang rata-rata terhibur dengan persembahan malam ini. Walaupun ada sedikit kecatatan, ia tidaklah begitu ketara,” komen Mac.