TRANG, THAILAND: Peranan dan pemerkasaan fungsi Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Sdn. Bhd. (ATAM) perlu lebih proaktif dan agresif bagi mensasar seramai mungkin golongan asnaf untuk melibatkan diri dalam pelbagai program yang telah disediakan.
Dalam usaha merangsang modal insan asnaf yang seimbang daripada aspek perkembangan sahsiah, pendidikan dan kemahiran, ATAM juga memainkan peranan bagi meningkat dan melestarikan keupayaan ekonomi asnaf menerusi keusahawanan dan perniagaan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, program kelolaan ATAM haruslah bersifat ‘ATAM driven’ supaya agihan zakat berkenaan mencapai objektifnya serta berimpak kepada peserta asnaf.
“Keadaan tersebut sangat penting bagi menjaga imej dan reputasi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perlis (MAIPs) dalam mengekalkan integriti serta kepercayaan dan kepuasan kepada pembayar zakat.
“Pelan perancangan dan perincian hasil daripada peranan yang dimainkan oleh ATAM mampu mengoptimumkan kualiti asnaf yang mampu keluar daripada kelompok penerima zakat kepada pembayar zakat kelak,” titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Bengkel Hala Tuju ATAM Tahun 2024 di Hotel Rua Rasada, Trang di sini hari ini.
Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menerima menghadap Timbalan Gabenor Wilayah Trang, Skul Dumrongkiatkul bagi membincangkan hubungan rapat antara Perlis dan Thailand terutamanya melibatkan Majlis Agama Islam serta komuniti Muslim di enam Wilayah Andaman di Selatan Thailand.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Baginda menambah, ATAM juga perlu lebih kreatif dan inovatif dalam menarik minat golongan asnaf ke arah bidang keusahawanan yang bukan sahaja meningkatkan peluang ekonomi kepada mereka malah membuka ruang pekerjaan kepada asnaf-asnaf yang lain dalam sama-sama mencari rezeki.
Selain itu, titah baginda, melalui penajaan bantuan modal dan peralatan perniagaan serta khidmat nasihat berterusan, ATAM berupaya melahirkan lebih ramai usahawan asnaf yang berjaya.
“Konsep ‘mentor-mentee’ sangat sesuai untuk diaplikasikan di dalam mencapai objektif ini. Pelbagai program latihan dan kemahiran bersesuaian turut mampu menjana ekonomi mereka melalui hasil yang dituai,” titah baginda.-UTUSAN