PETALING JAYA: Menganggap dirinya juga masih belajar memperbaiki diri, Rafidah Ibrahim, 37, mengakui, sebagai selebriti bertudung, berhijrah itu mungkin mudah buat sesetengah orang.
Namun, katanya, cabaran paling besar adalah bagaimana untuk kekal istiqamah lantaran banyak ujian ada di sekeliling yang memungkinkan perasaan diri menjadi bolak-balik.
“Apabila sesuatu keadaan itu boleh menggugat Iman atau penghijrahan kita,saya fikir paling penting ialah memilih ‘circle’ atau kawan-kawan yang boleh membantu pada niat asal kita.
“Saya percaya bahawa iman tak boleh diwarisi mahupun ‘copy and paste’. Setiap anak Adam itu pasti tidak lari dari melakukan kesilapan. Sama ada kalangan artis atau tidak,jika ada kalangan kawan-kawan kita yang sedang diuji, nasihat dan berikan galakkan padanya.
“Tapi kalau tak mampu, kita juga boleh mendoakan dia dari jauh. Tugas dakwah bukan hanya terletak pada ustaz atau ulama. Tetapi itu adalah tanggungjawab setiap Muslim. Dalam berdakwah perumpamaannya macam ini, ‘kita bukannya nak hapuskan pesakit, tetapi kita nak merawat penyakit,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah selebriti yang mesra dipanggil Fida ini, dia mengakui sebagai artis, golongan ini lebih ketara dapat dilihat ramai kerana status figura awam.
“Bila berkaitan sesuatu perkara yang diwajibkan dalam Islam ini, pada peringkat permulaan memang saya faham, kita seolah-olah perlu memaksa diri sehinggalah datangnya keikhlasan itu. Artis lebih dilihat orang sebab mereka selalu di depan kamera.
“Bagi saya, semua orang dalam industri memainkan peranan masing-masing kerana setiap daripada kita faham agama dan syariat termasuklah penerbit, pengarah, stesen tv, radio, media dan lain-lain.Paling penting kita kena sentiasa ingat bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah.
“Kalau kita rasa dengan hijrah kita kehilangan atau kurang tawaran, sentiasa bersangka baik pada ketentuan yang Allah tetapkan. Yakinlah pasti ada lebih baik dari itu sebab dalam hidup ini tak semestinya yang kita rasa tak baik tu, tak baik untuk kita mahu pun sebaliknya,”katanya.