SHAH ALAM: Kerajaan digesa tidak meneruskan hasrat untuk mengapungkan harga beras putih tempatan (BPT) apabila tindakan tersebut dikhuatiri menyebabkan golongan berpendapatan rendah tidak mampu mendapatkannya.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ketika ini masih terdapat rakyat yang berdepan kesukaran untuk membeli beras tempatan pada harga RM2.60 sekilogram (kg).
“Jadi kalau harga beras tempatan diapungkan, saya takut lebih ramai rakyat tidak mampu beli beras tempatan lagi,” katanya ketika ditemui di Muktamar Pas ke-69, hari ini.
Terdahulu dalam perbahasan Belanjawan 2024, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, mencadangkan pengapungan tersebut berikutan berlaku kekurangan bekalannya ketika ini.
Beliau menjelaskan, harga BPI (import) yang lebih mahal, lantas rakyat lebih membeli BPT dan situasi ini menyebabkan bekalan BPT kurang di pasaran tempatan.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Muhammad Sanusi menzahirkan penghargaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menaikkan harga lantai belian padi RM1,300 satu tan metrik ketika membentangkan Belanjawan 2024, minggu lalu.
Bagaimanapun, beliau berharap Perdana Menteri dapat menaikkan harga lantai belian padi, iaitu kepada RM1,700 satu tan metrik.
“Ya ada kenaikan RM100 tapi tak cukup. Saya harap boleh lebih pada itu (RM1,700). Kalau RM1,700, petani lega sedikit kerana pendapatan mereka ada kenaikan,” tegasnya. – UTUSAN