Anwar tidak gentar terima ugutan demi pertahankan Palestin

Anwar tidak gentar terima ugutan demi pertahankan Palestin

ANWAR Ibrahim menyampaikan ucapan dalam Himpunan Malaysia Bersama Palestin yang berlansung di Axiata Arena, Bukit Jalil., semalam - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak takut dengan ugutan pihak menyokong Israel ekoran kelantangannya memperjuangan rakyat Palestin.

Di hadapan lebih 10,000 orang ramai dalam Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin, Anwar mengakui menerima banyak ugutan dan teguran oleh negara-negara yang cenderung kepada Israel khususnya Amerika Syarikat (AS).

Kata Anwar, beliau akan terus mempertahankan Palestin selagi diberi mandat sebagai Perdana Menteri di samping menerima sokongan padu seluruh rakyat Malaysia.

“Saya sebut kamu (negara sokong Israel) salah pilih orang, Malaysia negara bebas dan merdeka. Kita kekal negara berdaulat akan pertahankan kebebasan Palestin.

“Selagi saya diberi mandat, saya tak takut terima ugutan, kita akan lawan,” katanya.

Beliau menegaskan perkara itu ketika menyampaikan pidato dalam Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil di sini malam ini.

ANWAR Ibrahim ketika berucap di hadapan ribuan orang ramai dalam Himpunan Malaysia Bersama Palestin. – UTUSAN/ AMIN AZMAN

Terdahulu, Stadium Axiata Arena hari ini bertukar menjadi ‘lautan putih’ apabila rakyat Malaysia pelbagai latar belakang yang memakai pakaian warna putih hadir ke perhimpunan tersebut.

Di samping sebagai tanda solidariti terhadap kesengsaraan penduduk Palestin yang diserang bertalu-talu oleh Zionis Israel, perhimpunan itu bertujuan mendesak peperangan di Palestin dihentikan segera.

Dalam pada itu, Anwar kemudian mengkritik sikap berat sebelah AS yang hanya mengecam Rusia berhubung isu Ukraine, tetapi menyokong Israel menceroboh Palestin.

“Tetapi Israel langgar (ceroboh) Palestin, mereka diam. Ini hukum apa? Ini hukum rimba,” katanya.

Kata Anwar, ketika pertemuan beliau dengan kebanyakan pemimpin negara Islam baru-baru ini, mereka mengakui bahawa konflik Palestin bukan satu isu yang mudah dan tidak menolak sukar ditangani dengan mudah.

Hal ini kerana menurut Perdana Menteri, segalanya berpunca daripada sikap ego dan sombong Israel yang meraih sokongan AS dan United Kingdom (UK).

“Masa depan mereka (penduduk Palestin) sangat malap, kemungkinan tentera Israel akan ceroboh Gaza. Keadaan sangat getir dalam beberapa minggu ini, kematian lebih ramai di bawah tangan Israel.

“Namun kita yakin dengan pertolongan Allah. Kita terus beri semangat kekuatan dan apa jua sokongan,” katanya.

Anwar kemudian menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai agama dan bangsa kerana bangkit serta tegas mempertahankan rakyat Palestin.

“Memang kita jauh dari dunia Arab dan Palestin, tapi setiap detik menyentuh hati kerana kita tahu erti kemanusian, keadilan melawan kezaliman Israel,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya