PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu lebih tegas dalam membuat keputusan walaupun tidak bersifat populis khususnya membabitkan kepentingan negara.
Pada masa sama, Perdana Menteri juga dijangkakan berdepan ‘kesukaran’ sepanjang pemerintahan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang bakal ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong tahun depan.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika memberikan pandangannya terhadap pentadbiran Perdana Menteri, bertitah, baginda berpandangan Anwar perlu lebih banyak melaksanakan dan berani dalam membuat keputusan.
“Memang niat nak buat sesuatu itu ada, tapi dia perlu lebih banyak laksanakan atau berani dalam membuat sebarang keputusan, tak boleh jaga hati setiap orang. Buat apa saja keputusan demi kebaikan negara, sungguhpun kadangkala perlu jadi pembenci.
“Mungkin (dia) ambil jalan terlalu selamat,” titahnya dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dihoskan oleh bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Titah Tunku Mahkota Johor, Sultan Ibrahim adalah seorang Sultan yang lebih turut bekerjasama (hands-on) khususnya apabila ia membabitkan kepentingan rakyatnya.
Baginda turut memberikan gambaran bahawa di Johor, Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga perlu mendapatkan perkenan Sultan Ibrahim sebelum melaksanakan sesuatu keputusan.
“Ke Bawah Duli akan menjadi Agong yang bukan main-main, memahami tetapi tegas. Apabila bercakap mengenai kepentingan negara, Ke Bawah Duli sangat tegas,” titahnya.
Ketika berkongsikan misinya sekiranya dilantik sebagai Pemangku Raja Johor sebaik ayahandanya ditabalkan Yang di-Pertuan Agong, Tunku Mahkota Johor mahu berunding dengan Kerajaan Persekutuan supaya diberikan sedikit kelonggaran bagi meningkatkan lagi mutu pendidikan di Johor.
“Agenda pertama saya adalah meminta sedikit kelonggaran dan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan supaya kami boleh menaikkan lagi mutu pendidikan di Johor,” titahnya.