DENGKIL: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menjamu selera dan menyantuni rakyat di Kedai Makan Ramli Corner Selera Kampong, di sini.
Anwar tiba di kedai makan kira-kira pukul 1.50 tengah hari diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan beberapa kenamaan lain.
Ketibaan beliau disambut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Sepang Datuk Abd. Hamid Hussain.
Ahli Parlimen Tambun itu sempat menyantuni orang ramai dan beberapa pemimpin masyarakat di mukim Dengkil sebelum menjamu selera.
Perdana Menteri kemudian dijamu dengan pelbagai hidangan termasuk asam pedas ikan tenggiri, ayam berempah, kari daging, kerabu tauge dan ulam-ulaman.
Hidangan lain disajikan termasuk buah-buahan, cekodok pisang dan kopi o panas serta teh o ais.
Sementara itu, pemilik kedai, Siti Norhidayu Ramli, 37, ketika ditemui berkata, dia mengakui terkejut selepas dimaklumkan pemimpin nombor satu negara sudi singgah makan di kedainya.
“Saya dimaklumkan perkara itu pukul 4 petang semalam. Saya agak terkejut kerana kedai saya terpilih dalam banyak-banyak kedai makan di kawasan ini.
“Hari ini kami sajikan Perdana Menteri asam pedas ikan tenggiri iaitu resepi turun temurun keluarga, malah ikan pun saya pilih sendiri,” katanya.
Katanya, dia dan pekerja lain sangat teruja sejak malam tadi untuk menyambut kedatangan Perdana Menteri hari ini. – UTUSAN