PETALING JAYA: Semua rakyat Malaysia di Riyadh, Arab Saudi digesa untuk bersama-sama menjaga imej negara dan bangsa ini.
Gesaan itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bertemu warga Malaysia yang berada di sana ketika mengadakan lawatan kerja ke negara itu sejak Khamis lalu.
“Saya gembira tatkala bertemu mereka sambil diajukan berbagai soalan yang tertumpu pada usaha kerajaan dalam mengangkat darjat harakat hidup rakyat selain memperteguh tatakelola, memperkuat ekonomi dan memainkan peranan yang lebih aktif dalam geopolitik dan hubungan antarabangsa.
“Saya menggesa rakyat Malaysia di sini untuk bersama menjaga imej negara dan bangsa yang kita cintai,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Perdana Menteri tiba di Riyadh sejak Khamis lalu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertama Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Semalam, Anwar dalam ucapan dalam sidang kemuncak ASEAN-GCC memaklumkan Malaysia berpendirian rakyat Palestin harus dikembalikan semula tanah, rumah dan harta mereka selain dibenarkan hidup aman serta bermaruah di negara sendiri.
Selain itu, Malaysia berpendirian, masyarakat antarabangsa perlu mengiktiraf sempadan negara Palestin berdasarkan persempadanan sebelum tahun 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya. – UTUSAN