PUTRAJAYA: Perdana Menteri membidas kuasa besar dan negara barat yang membiarkan kekejaman rejim zionis Israel terhadap Palestin.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia menyaksikan episod getir dan gelap, namun rejim Israel itu berterusan melakukan serangan.
“(Serangan) itu diteruskan dan disahkan atau dibiarkan oleh kuasa besar pelopor demokrasi, kebebasan, liberalisme barat dan Amerika Syarikat. Itu sangat membingungkan,” katanya menerusi ucapan Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Anwar pada masa sama berkata, beliau tidak pernah terfikir akan muncul gelagat kelompok manusia yang sekejam itu sepanjang penglibatan di dalam politik.
“Ini sangat mengesankan dan menyentuh hati nurani saya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat lalu, pemimpin negara bersama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sudah menghubungi rakan sejawat di dunia Islam dan serantau bagi membantu meredakan tekanan penduduk Palestin khususnya di Gaza.
Sejak 7 Oktober lalu, Israel melakukan serangan bertubi-tubi ke atas Semenanjung Gaza yang memusnahkan kawasan kediaman, selain menyebabkan ribuan penduduk terkorban dan cedera, dengan hampir 40 peratus daripada mangsa terdiri kanak-kanak dan wanita.
Rejim Israel kemudian melancarkan Operasi Pedang Besi terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza dan diperluas kepada pemotongan bekalan air dan elektrik ke Gaza, memburukkan lagi keadaan hidup di kawasan yang bergolak kerana sekatan ketat Israel sejak 2007.
Seminggu selepas serangan balas Israel, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan angka kematian di wilayah itu meningkat kepada 2,600 orang. – UTUSAN