PETALING JAYA: Dua bekas pemimpin UMNO iaitu Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim merupakan antara sembilan ahli jawatankuasa Pas lantikan yang diumumkan parti tersebut.
Senarai pelantikan ahli jawatankuasa parti lantikan diumumkan menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini.
Menurut beliau, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berlangsung semalam bersetuju dengan cadangan dan pelantikan ahli jawatankuasa lantikan dan pesuruhjaya-pesuruhjaya Pas negeri dan Wilayah Persekutuan berdasarkan Fasal 25 dan Fasal 26 Perlembagaan parti.
Sebelum ini, Annuar merupakan bekas Setiausaha Agung UMNO manakala Shahidan pula pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi kemudiannya menyertai Pas selepas dipecat keahlian UMNO.
Shahidan kemudian bertanding sebagai ahli Parlimen Arau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) manakala Annuar pula tidak dicalonkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Sementara itu, Pas mengumumkan ahli-ahli jawatankuasa lantikan termasuk Ahli Parlimen Pasir Putih, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Nasrudin Hasan.
Selain mereka, turut dilantik pengamal undang-undang, Wan Rohimi Wan Daud; ahli akademik, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd. Yusni Mat Piah.
Dalam masa sama, Pas masih mengekalkan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob untuk mengetuai Pas Kelantan dalam senarai Pesuruhjaya Pas negeri dan Wilayah Persekutuan.
Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol Perak, Razman Zakaria antara dikekalkan sebagai Pesuruhjaya Pas negeri.
Selain itu, ADUN Paya Jaras dan bekas pensyarah, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri merupakan muka baharu apabila beliau sebagai dilantik Pesuruhjaya Pas Selangor yang sebelum ini disandang oleh Dr. Ahmad Yunus.-UTUSAN