HULU TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggalakkan lebih ramai anggotanya termasuk wanita menyertai Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm).
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Nordin Pauzi berkata, ketika ini, terdapat kekuatan 500 anggota dalam unit elit berkenaan dengan sembilan daripadanya adalah wanita.
Menurutnya, kepakaran dan kemahiran dimiliki pasukan Storm sebagai barisan hadapan di zon merah atau kritikal dalam sesuatu operasi bencana setanding dengan pasukan penyelamat bertaraf dunia.
“Pasukan Storm juga punyai ‘multi-skill’ kerana keahlian mereka turut terdiri daripada unit khas bomba yang lain sperti unit scuba, EMRS dan Hazmat. Kita yakin mereka boleh imbangi risiko dengan baik dalam setiap situasi.
“Kita tidak meletakan sasaran khusus berhubung jumlah angka pasukan Storm namun galakkan seramai mungkin anggota dapat sertai unit elit ini. Pasukan ini pemangkin, tanda aras bagi JBPM.
“Sebagai pasukan elit, pemilihan anggota Storm berdasarkan beberapa kriteria termasuk lepasi ujian kecergasan fizikal, kemahiran berfikir dan bertindak dengan cepat serta tepat selain tampilkan budaya disiplin tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Ujian Aturgerak Pasukan Khas Storm Zon Pantai Timur 2023 di Pekampungan Konservasi Gajah Tasik Kenyir Elephant, dekat sini, hari ini.
Program diadakan selama tiga hari berakhir 31 Oktober disertai seramai 60 anggota melibatkan pelbagai ujian bagi menguji tahap kemahiran serta kesiapsiagaan dari segi mental dan fizikal.
Katanya lagi, terdapat seramai 14, 000 orang anggota bomba di seluruh Malaysia ketika ini yang sentiasa siap siaga setiap masa terutamanya apabila berdepan sesuatu bencana. – UTUSAN