KEMAMAN: Seekor ular sawa yang dianggarkan sepanjang empat meter berjaya ditangkap pasukan bomba dan penyelamat di jeti pendaratan ikan, berhampiran Pasar Besar Chukai, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman, Hasbullah Halipah berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 9 malam sebelum menggerakkan lima anggota ke lokasi kejadian.
“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk ‘menjinakkan’ ular tersebut yang pada awalnya sedikit agresif.
“Kita menggunakan alatan khas termasuk penjerut untuk menangkap reptilia tersebut,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Hasbullah berkata, tiada mangsa yang cedera sepanjang operasi tersebut meskipun kawasan itu menjadi tumpuan ramai.
“Ular sawa itu kemudiannya dilepaskan kembali ke habitat yang sesuai, jauh dari penempatan penduduk,” katanya. – UTUSAN