Bapa hubungi anak sejam sebelum maut - Utusan Malaysia

Bapa hubungi anak sejam sebelum maut

ROHAMI Ismail (kanan) sayu melihat jenazah anaknya, Muhammad Fitri Hanif yang diusung keluar dari Unit Forensik Hospital Dungun, hari ini, - UTUSAN/ NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN : Perasaan bimbang dan rasa tidak sedap hati seorang bapa terhadap anaknya, menjadi kenyataan apabila anak lelakinya maut dalam kemalangan melibatkan enam buah motosikal di Kilometer 333.1 di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuantan, berhampiran susur keluar Plaza Tol Paka, di sini, malam tadi.

Rohami Ismail, 53, berkata, dia menghubungi anaknya, Muhammad Fitri Hanif, 18,  yang keluar bersama rakan-rakannya untuk menikmati nasi lemak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka, sejam sebelum insiden yang turut mengorbankan dua lagi penunggang motosikal lain. 

“Sebelum kejadian dia beritahu nak keluar makan nasi lemak sebelum bertolak kira-kira pukul 10 malam dari rumah kami di Bukit Kuang. 

“Tiba-tiba, sekitar pukul 11 malam, saya rasa tidak sedap hati, berdebar serta gelisah. Saya teringatkan Angah (Muhammad Fitri Hanif) dan terus hubungi dia untuk memeriksa keadaannya. Ketika itu dia beritahu sudah selesai makan dan mahu bertolak balik ke rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Dungun, di sini, hari ini. 

Rohami berkata, sejam selepas dia menghubungi anak kedua daripada sembilan adik beradik tersebut, dia kemudiannya menerima panggilan telefon daripada saudaranya yang memberitahu Muhammad Fitri Hanif terlibat dalam kemalangan jalan raya. 

“Ketika itu saya tidak tahu dia telah meninggal dunia, namun bila diberitahu keadaan anak saya tenat dan apabila melihat gambarnya ketika kemalangan, saya rasa memang anak saya telah meninggal dunia,” katanya yang reda dengan ujian tersebut. 

Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam tadi turut mengorbankan dua penunggang motosikal lain iaitu pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Binjai, Ahmad Osama Ramadhan Laidin, 17, dan seorang lagi penunggang motosikal iaitu Muhammad Shah Run Nizam Jaafar, 20, yang berasal dari Bandar Baru Seri Bandi. 

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa tercampak beberapa meter di Lebuhraya itu selepas gagal mengelak seorang penunggang motosikal iaitu Muhamad Firzani Hilman Mohd Arif Fadhillah, 20, yang dilanggar sebuah motosikal lain, Kemaman. 

Kejadian tersebut turut menyebabkan Muhammad Firzani Hilman yang berasal dari Cheneh dan dua lagi penunggang motosikal lain iaitu Mohamad Afiq Kamal, 19, dan Muhammad Haziq Haikal Ismail, 17, mengalami kecederaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya