Amirrudin juara Pertandingan Pidato Sektor Awam Piala SUK Terengganu - Utusan Malaysia

Amirrudin juara Pertandingan Pidato Sektor Awam Piala SUK Terengganu

AMIRUDIN Abd. Rahman (tengah) bersama Mohd. Amir Zainuddin (kiri) dan Muhamad Najmi Mohd. bersama hadiah  yang dimenangi pada Pertandingan Pidato Sektor Awam Piala SUK Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Guru Bahasa Inggeris, Amirrudin Abd. Rahman muncul juara Pertandingan Pidato Sektor Awam Piala Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu di sini, hari ini.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman itu membawa tajuk ‘Pekerja Berkualiti Memugar Produktiviti’ mengatasi sembilan peserta lain untuk memenangi wang tunai RM2,000 dan piala iringan.

Lebih manis lagi apabila Amirrudin  yang merupakan bekas juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2011 turut diumumkan pemenang Anugerah Khas Pemidato Terbaik sekaligus membawa pulang hadiah RM200.

Pemenang tempat kedua pula menjadi milik guru Sekolah Rendah Islam Darul Iman Buluh Gading, Azmir Mohd. Zainuddin  manakala pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu, Muhamad Najmi Mohd. tempat ketiga.

Pemenang tempat kedua dan ketiga itu masing-masing memenangi hadiah wang tunai RM1,000 dan RM700 serta piala iringan.

Amirrudin ketika ditemui cukup berbangga dengan kejayaan itu walaupun melakukan persiapan singkat selepas kali terakhir mengambil bahagian pada Pidato Belia Kebangsaan 2020 dan turut memenanginya.

“Kemenangan ini adalah di luar jangkaan dan saya tidak menyangka dapat mengetepikan peserta lain yang tidak kurang hebatnya dengan tajuk pidato yang disampaikan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan SUK Terengganu, Ab. Rasid Jusoh, berkata, kejohanan julung kali yang diadakan dengan tema ‘Pekerja Sihat, Produktiviti Hebat’ itu akan menjadi perintis untuk pertandingan akan datang.

Menurut beliau, kejohanan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu merupakan antara platform terbaik bagi mengangkat Bahasa Melayu sebagai khazanah bangsa negara.

“Ia juga dapat memupuk rasa bangga serta kecintaan dalam penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang kaya dengan bahasa matang dan indah,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya