Amelia Henderson hanya perlu bayar ganti rugi nominal RM10,000

Amelia Henderson hanya perlu bayar ganti rugi nominal RM10,000

Amelia Henderson
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Pelakon Amelia Henderson tidak perlu membayar RM200,000 kepada A. Aida Production Sdn. Bhd., sebaliknya hanya menjelaskan ganti rugi nominal RM10,000  berhubung isu pelanggaran kontrak sebuah drama melibatkan syarikat itu, tahun lalu.

Perkara tersebut ditentukan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen berhubung jumlah ganti rugi dan pernyataan memfitnah terhadap syarikat produksi itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong memerintahkan pelakon itu atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 28, membayar ganti rugi dalam tempoh 14 hari serta faedah lima peratus setahun bermula hari ini.

Mahkamah membenarkan rayuannya dan berpuas hati bahawa pernyataan Amelia dalam laman Instagramnya tidak memfitnah A. Aida Production mahupun merujuk kepada syarikat produksi itu.

“Saya tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Sesyen. Selepas meneliti pernyataan Amelia secara keseluruhan, saya mendapati bahawa pandangan yang dikemukakan tidak merendahkan reputasi A. Aida Production.

“Penyataan Amelia sekadar menjelaskan bahawa skrip drama itu tidak sesuai dengan beliau selain  memberi komen bahawa karektor sebagai `Aira’ akan melukakan imejnya secara keseluruhan pada mata masyarakat dan peminat,” ujar beliau ketika membacakan keputusannya.

Dalam keputusannya, Wai Hong bagaimanapun berpuas hati Amelia melanggar kontrak yang dimeterai dengan syarikat produksi itu pada 25 Januari 2022 walhal bayaran pendahuluan RM3,920 telah dibayar kepadanya.

Menurut hakim berkenaan, penggambaran sepatutnya bermula pada 16 Jun 2022, bagaimanapun sehari sebelumnya, syarikat itu dihubungi melalui WhatsApp oleh pengurus Amelia pada waktu malam bahawa pelakon itu tidak dapat melakonkan watak yang diberikan.

Tindakan pelakon itu menarik diri pada saat akhir merupakan satu pelanggaran kontrak menyebabkan A. Aida Production menghantar notis penamatan kontrak pada hari yang sama penggambaran sepatutnya berlangsung.

Sehubungan itu, mahkamah berpuas hati Amelia melanggar kontrak yang ditandatangani dengan syarikat produksi tersebut.

Berhubung rayuan terhadap jumlah ganti rugi, Wai Hong berpuas hati, dalam tempoh sehari, syarikat produksi itu berjaya mendapat pelakon gantian bagi menjayakan watak `Aira’ dan penggambaran kemudian dimulakan.

Ujar beliau, syarikat produksi itu menuntut RM210,350 daripada Amelia sebagai ganti rugi bagi kos penggambaran namun tiada bukti dikemukakan olehnya bagi menyokong dakwaan kerugian itu.

Beliau berpendapat, jumlah yang dituntut itu tidak boleh dikategorikan sebagai ganti rugi kerana pengambaran tetap berlangsung dan drama berkenaan mencecah `box-office’.

“Oleh yang demikian A. Aida Production hanya layak mendapat ganti rugi nominal RM10,000 kerana pelanggaran kontrak.  Amelia telah mendapat bayaran pendahuluan sebanyak RM3,920,” ujar beliau.

Ketika menyampaikan keputusan itu, hakim berkenaan menarik perhatian semua pihak supaya mengambil iktibar terhadap insiden malang melibatkan syarikat produksi dan golongan artis.

Beliau berpendirian, meskipun seseorang artis mempunyai hak untuk menjaga imejnya, mereka tidak boleh menarik diri pada saat-saat akhir.

“Tindakan itu tidak adil bukan sahaja kepada syarikat produksi dan pengarahnya, tindakan itu juga memberi kesan kepada `periuk nasi’ pelakon lain dan juga kru yang terlibat dengan penggambaran itu,” ujarnya.

Beliau turut berpendapat, meskipun pihak terlibat bukanlah terdesak seperti `kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, namun sebahagian mereka memerlukan sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan.

Hakim berkenaan menyatakan, dalam situasi itu, A. Aida Production beruntung kerana berjaya mendapatkan pelakon gantian dalam tempoh 24 jam dan seterusnya menyelamatkan keadaan.

“Pada masa depan, mungkin ada pihak lain yang tidak bernasib baik seperti syarikat produksi tersebut,” ujar beliau.

Dalam prosiding itu, Amelia diwakili peguam Mansheel Kaur dan Wan Nurliyana Abdul Rahman manakala peguam Ashmadi Othman mewakili syarikat produksi itu selaku responden.

Oleh kerana Amelia menang rayuan terhadap  pernyataan fitnah dan kalah rayuan terhadap pelanggaran kontrak, mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak menanggung kos masing-masing.

Amelia memfailkan rayuan pada 18 April lalu berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi kira-kira RM200,000 kepada syarikat itu.

Amelia merayu terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen Sivil pada 7 April lalu yang memerintahnya membayar ganti rugi tersebut.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Zulqarnain Hassan selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.

Hakim berkenaan ketika itu mengarahkan Amelia memulangkan wang pendahuluan RM3,920 berhubung kontrak serta membayar ganti rugi am atas fitnah sebanyak RM90,000 serta RM101,325 sebagai kos penggambaran yang ditanggung plaintif serta kos RM18,000.

Mahkamah Sesyen mendapati itu mengatakan mahkamah mendapati Amelia telah diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

Selain itu, penghakiman mahkamah juga mendapati Amelia sendiri bersetuju membintangi drama itu selain turut bersetuju watak yang ditawarkan iaitu `Aira’ yang mana Amelia adalah heroin dalam drama tersebut.

Bagaimanapun pada Ogos lalu, Amelia berjaya dalam permohonannya untuk menangguhkan permohonan maaf dan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi itu.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan agar wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun bersama yang akan dikendalikan oleh kedua-dua firma guaman yang mewakili syarikat produksi itu dan Amelia.

Perbicaraan yang bermula 1 November 2022, seramai tiga saksi daripada plantif termasuk A. Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, 53, dan tiga saksi defendan termasuk Amelia sendiri hadir untuk memberi keterangan.

Sementara Amelia tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika dia menerima tawaran dan membintangi drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.

Sebelum ini media melaporkan Amelia dan pelakon Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada A. Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.

Bagaimanapun, saman melibatkan A. Aida dan Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN