AmBank peruntuk RM450 juta bangunkan Pulau Andaman - Utusan Malaysia

AmBank peruntuk RM450 juta bangunkan Pulau Andaman

SULAIMAN Mohd. Tahir (kanan) ketika hadir menyaksikan majlis pertukaran dokumen berhubung kemudahan pembiayaan kewangan sebanyak RM450 juta oleh AmBank kepada Tanjung Pinang Development untuk pembangunan Pulau Andaman di George Town, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Sebanyak RM450 juta diperuntukkan oleh Kumpulan AmBank untuk membiayai projek pembangunan mampan di Pulau Andaman, di sini yang dikendalikan oleh Tanjung Pinang Development (TPD) iaitu anak syarikat penuh milik Eastern & Oriental Berhad (E&O).

Pembiayaan tersebut yang juga merupakan sebahagian daripada pengeluaran sebanyak RM1.3 bilion oleh AmBank setakat ini membolehkan bank itu berada pada landasan yang betul selaras dengan matlamatnya untuk mencapai jumlah yang besar dalam pembiayaan tahun kewangan ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir, perkongsian kerjasama dengan pihak E&O dalam membangunkan Pulau Andaman itu telah menetapkan satu ‘mercu tanda’ bahawa kedua-dua pihak sedia untuk bersatu dalam mengurangkan kesan alam sekitar selain mempromosikan masa depan yang lebih mampan.

Katanya, AmBank juga memahami bahawa institusi kewangan turut memainkan peranan yang penting dalam menyalurkan modal ke arah projek alam sekitar di samping menggalakkan peralihan kepada ekonomi yang lebih ‘hijau’.

“Oleh itu, kami bangga menjadi sebahagian daripada ‘pergerakan yang semakin berkembang’ ini khususnya bersama TPD dalam inisiatif mereka ke arah ekonomi yang lebih mampan dan berdaya tahan sekali gus melengkapkan kerjasama yang terjalin bersama E&O sebelum ini.

“Kumpulan AmBank yakin perkongsian ini mampu memacu perubahan yang positif selain menyediakan penyelesaian pembiayaan yang seterusnya akan memperkasa Kumpulan E&O untuk meneruskan prestasi cemerlang mereka dalam pembangunan hartanah yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis pertukaran dokumen antara AmBank dan TPD berhubung kemudahan pembiayaan itu di Gurney Green, Pulau Andaman di sini, semalam.

Yang hadir sama, Pengerusi Eksekutif E&O Berhad, Datuk Tee Eng Ho; Pengarah Urusan E&O Berhad, Kok Tuck Cheong serta Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan, Kumpulan AmBank iaitu Christopher Yap.

Pulau Andaman iaitu pulau buatan yang dianggarkan berkeluasan kira-kira 291 hektar itu secara umumnya mempunyai amalan dan prinsip mampan yang terbina dalam terasnya dengan setiap bangunan di pulau bandar tersebut telah direka bentuk untuk memenuhi piawaian Pensijilan Bangunan Hijau.

Sementara itu, Eng Ho memberitahu, dengan sokongan berterusan daripada AmBank, pihaknya berharap dapat merealisasikan visi untuk membangunkan Pulau Andaman Fasa 1 yang dijangka mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM17 bilion.

Beliau berkata, keseluruhan projek itu direka berdasarkan konsep pembangunan bercampur unik yang mengutamakan kehidupan mampan, ketersambungan yang cemerlang selain pembinaan komuniti.

“Kami komited untuk terus membangunkan projek pembangunan serta kehidupan yang mampan,” katanya yang menambah, hasil kerja mereka juga telah diiktiraf menerusi pencapaian Pensijilan Sementara Platinum GreenRE untuk projek pembangunan perbandaran Pulau Andaman Fasa 1 itu.

Untuk rekod, projek pertama di Pulau Andaman iaitu The Meg yang melibatkan pembangunan lebih 1,400 unit pangsapuri khidmat telah dilancarkan pada Disember 2021 manakala projek pembangunan kedua iaitu Arica pula dilancar pada Mac lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya