Amang, komunikasi seksual: PU Azman dibicara Mei 2024

Amang, komunikasi seksual: PU Azman dibicara Mei 2024

AZMAN Syah Alias (kanan) keluar dari Mahkamah Sesyen Ampang selepas sebutan kes amang seksual terhadap remaja lelaki 17 tahun. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini menetapkan pendakwah selebriti, Azman Syah Alias dibicarakan pada Mei tahun depan atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan berkomunikasi secara seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.

Hakim Norhazani Hamzah menetapkan kedua-dua pertuduhan terhadap Azman Syah atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman dibicarakan selama enam hari pada 8, 9, 23, 29, 30 Mei dan 4 Jun 2024.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar pertuduhan amang seksual fizikal yang dikemukakan di Ampang dibicarakan secara bersama dengan pertuduhan berkomunikasi secara seksual yang sebelum ini dikemukakan di Mahkamah Sesyen Klang.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memaklumkan pertuduhan di Klang telah dipindahkan ke Ampang pada 4 September lalu.

“Kami mengemukakan permohonan di bawah Seksyen 165 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) agar kedua-dua pertuduhan dibicara secara bersama dan pengurusan kes ditetapkan pada 2 April 2024,” ujar beliau.

Permohonan untuk perbicaraan bersama itu tidak dibantah oleh peguam Muhammad Fairuz Iskandar Zainal Abidin yang mewakili Azman Syah.

Norhashimah turut memaklumkan semua dokumen pendakwaan telah diserahkan kepada pihak pembelaan di Klang dan dokumen tersebut sama dengan kes di Ampang. Mahkamah kemudian menetapkan 21 November ini bagi sebutan kes bagi mengesahkan sama ada semua dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Sementara itu, PU Azman ketika ditanya wakil media berhubung perkembangan terkininya memberitahu, dia masih aktif menyampai ceramah atas jemputan pelbagai pihak di negeri lain termasuk Perak dan Selangor.

“Perkembangan terkini macam biasa, masih memberi ceramah dan buat kandungan di media sosial selain memberi tumpuan kepada program peribadi,” ujar penceramah itu ketika ditemui di pekarangan mahkamah.

Ketika ditanya sama ada terdapat pihak-pihak yang menarik balik kerjasama yang dibuat dengannya, Pu Azman berkata tidak pasti berkaitan perkara itu dan buat masa ini dia tidak memikirkannya.

Pada 21 Disember 2022, PU Azman, 42, didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 17 tahun pada waktu tengah hari, 22 Julai 2022 di bilik sebuah resort di Hulu Langat dekat sini.

Tertuduh yang juga dikenali sebagai Cik Man didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan di Klang, Azman Syah didakwa berkomunikasi secara seksual melalui aplikasi WhatsApp dengan remaja yang sama di antara pukul 4 petang dan 7.30 malam pada 16 Ogos 2022 di sebuah rumah di Kampung Meru, Klang dekat sini. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 11(1)(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun.

Di Mahkamah Sesyen Klang, pendakwah selebriti itu sebelum ini didakwa atas pertuduhan melakukan amang, komunikasi seksual serta kelucahan melampau pada tiga remaja lelaki tahun lalu.

Di mahkamah itu, PU Azman didakwa atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal di sebuah inap desa di Sungai Udang dekat sini masing-masing pukul 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari serta 29 Jun 2022.

Dalam pada itu, Azman Syah turut didakwa di Mahkamah Majistret Klang kerana melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki lain berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek kira-kira pukul 9.15 malam pada 10 Jun 2022.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 377d Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun sekiranya disabitkan kesalahan. Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Seremban atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN