PONTIAN: Senaman J Robik yang menjadi salah satu aktiviti gaya hidup sihat perlu terus dibugarkan supaya menjadi amalan rutin rakyat negeri ini.
Menyedari pentingnya gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat, senaman tersebut turut diadakan sempena Festival D’ Kukup yang sedang berlangsung di Taman Rekreasi Pantai Rambah, di sini.
Senaman tersebut yang dipimpin oleh sekumpulan pengajar kecergasan, iaitu Julie Jamaludin, Norazana Ahmad, Ismawaty Ismail dan Junaidah Ahmad daripada Kelab Sukan dan Kecergasan Pulai Sebatang disertai oleh lebih 200 orang, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan.
Jefridin berkata, walaupun sibuk dengan tugas seharian, namun aktiviti riadah jangan dilupakan supaya sentiasa sihat dan cergas.
“Sejajar dengan tema festival ‘Membentuk Gaya Hidup Baru Komuniti Berkualiti’, diharap masyarakat dapat menjalani gaya hidup yang sihat bagi menjamin kualiti kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Festival tiga hari yang bermula semalam itu turut dimeriahkan dengan pertandingan memasak D’ Kukup bertemakan buah nanas yang sinonim dan popular di daerah serta daging ayam sebagai menu utama.
Pertandingan yang disertai 25 kumpulan tersebut diadili oleh Ketua Juri, Chef Mohamad Khatimi Burak atau Chef Kimi serta Asmawti Sarbin dan Rabiah Sabtu daripada Pejabat Kemajuan Masyarakat (Kemas) Parlimen Tanjung Piai.
Bagi memeriahkan lagi festival tersebut, turut diadakan pertandingan menganyam ketupat dengan peserta perlu menyiapkan tiga sarung ketupat bawang dalam masa satu minit.
Pertandingan tersebut berjaya menarik lebih 20 peserta dalam kalangan suri rumah yang dimenangi oleh Junaidah Kasmin, manakala Normaliza Ab. Malek muncul naib juara dan tempat ketiga diraih Suhaila Waris.
Pada sebelah petang pula diadakan acara sukan rakyat seperti pancing botol, maju mundur, masuk air dalam botol, boling kelapa dan kain pelekat berantai.
Pertandingan tersebut disertai oleh penduduk dari mukim-mukim di DUN Kukup seperti Mukim Rimba Terjun, Mukim Air Masin, Mukim Sungai Karang, Mukim Serkat dan Mukim Jeram Batu melibatkan kira-kira 200 peserta.
Festival D’ Kukup yang julung kali dianjurkan oleh Pejabat Khidmat Rakyat DUN Kukup merupakan usaha bagi mengeratkan lagi hubungan rakyat, khususnya di kawasan berkenaan.-UTUSAN