KOTA BHARU: Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) perlu menyegerakan pemasangan penapis air di luar kawasan Kampus Universiti Tekonologi Mara (UiTM) Kelantan di Machang bagi menyelesaikan masalah bekalan air keruh, kemerahan dan tidak terawat yang sedang ‘menghantui’ pusat pengajian berkenaan ketika ini.
Rektor UiTM Kelantan, Prof. Madya Dr. Abdol Samad Nawi berkata, masalah itu berpunca daripada kandungan magnesium tinggi sekali gus menjejaskan urusan harian.
Menurutnya, kampus UiTM Machang tidak menghadapi kekurangan bekalan air kerana mempunyai beberapa tangki besar untuk menampung keperluan 5,000 pelajarnya.
“Kami sudah mengadakan kunjungan hormat kepada pihak AKSB berkaitan masalah itu dan dimaklumkan ia berpunca daripada masalah kecurian kabel elektrik di loji rawatan air di situ.
“Akibat kecurian kabel itu, proses mengurangkan kandungan magnesium tidak dapat dilakukan sehingga ke tahap maksimum. Sebenarnya, masalah ini sudah lama berlaku iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.
“Difahamkan kelewatan penyelesaian masalah kecurian kabel adalah disebabkan ia melibatkan perbelanjaan besar iaitu mencecah RM3 juta. Kabel berkenaan sudah disambung kembali tetapi masalah magnesium belum selesai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mini Karnival Statistik di UiTM Kampus Kota Bharu, di sini, hari ini.
Abdol Samad memberitahu, AKSB memaklumkan masalah kandungan magnesium tinggi timbul kerana bekalan air diambil dari dalam tanah dan syarikat itu juga tidak menjangkakan kandungan bahan itu akan menjadi terlalu tinggi.
Katanya, untuk mengatasi masalah tersebut, pihak AKSB mencadangkan pemasangan alat penapis di luar kawasan Kampus UiTM Machang bagi membolehkan institusi pengajian tinggi itu menerima bekalan air bersih yang sudah dirawat.
“Kami dimaklumkan pemasangan penapis tersebut juga akan menelan belanja agak tinggi iaitu mencecah RM300,000 hingga RM400,000.
“Kami harap ia dapat disegerakan demi kepentingan pelajar-pelajar dan seluruh warga UiTM di kampus itu,” ujarnya.
Abdol Samad berkata, sebagai langkah penyelesaian sementara, Kampus UiTM Machang terpaksa memasang penapis air Coway bagi memastikan pelajar-pelajar dan warga UiTM di situ mendapat bekalan air bersih.
“Pemasangan penapis air ini memerlukan kos permulaan agak besar iaitu sekitar RM400,000 dan ia tidak termasuk kos sewaan bulanan dan perkhidmatan. Kita memerlukan lebih kurang 60 unit penapis air bagi memenuhi keperluan pelajar.
“Bagaimanapun ia tidak dapat menyelesaikan masalah secara menyeluruh dan hanya untuk tujuan makan dan minum sahaja. Untuk mandi dan mencuci pakaian masih menggunakan air bermagnesium tinggi yang mengakibatkan sesetengah pelajar mengalami kegatalan,” ujarnya.-UTUSAN