Akaun fleksibel KWSP untuk bantu pencarum hadapi kecemasan

Akaun fleksibel KWSP untuk bantu pencarum hadapi kecemasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan  memperkenalkan akaun fleksibel sebagai usaha untuk membantu dan meringankan beban pencarum ketika berhadapan dengan kecemasan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizah berkata, akaun baharu tersebut akan boleh diakses oleh ahli pada bila-bila masa terutamanya ketika menghadapi kecemasan.

“Selaras dengan fenomena penuaan yang pesat dan landskap kerja yang semakin berkembang ke arah tidak formal di Malaysia, KWSP sentiasa mengkaji semula Skim KWSP untuk memastikan ahli-ahlinya  boleh memenuhi keperluan kitaran hidup tanpa menjejaskan simpanan mereka bagi tujuan persaraan.

“Oleh itu, bagi membantu ahli mengimbangi keperluan jangka masa pendek, sederhana dan panjang, akaun ahli KWSP akan distruktur semula untuk memperkasakan lagi simpanan persaraan demi kesejahteraan hari tua,” katanya  dalam satu kenyataan, hari ini.

Amir Hamzah berkata, KWSP menyambut baik Belanjawan 2024 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu.

KEWANGAN

Katanya, belanjawan tersebut dilihat dapat menangani beberapa perkara yang dibangkitkan oleh KWSP iaitu khususnya berkenaan kesejahteraan kewangan jangka panjang rakyat Malaysia.

“Belanjawan 2024 mencerminkan satu langkah penting ke hadapan dalam mengutamakan keselamatan kewangan dan kemakmuran penduduk kita yang semakin menua. Dengan usaha bersepadu dalam memperkukuhkan sumber dan peruntukan persaraan, belanjawan ini menyerlahkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memastikan maruah dan keselesaan rakyat.

“Kesejahteraan hari tua rakyat kekal sebagai salah satu keutamaan kerajaan, berikutan tahap perlindungan yang rendah di bawah skim pencen dan persaraan yang formal dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Pada masa ini, hanya 60 peratus daripada tenaga buruh di Malaysia dilindungi di bawah skim persaraan formal, iaitu skim KWSP untuk pekerja swasta dan Skim Pencen Perkhidmatan Awam untuk penjawat awam,” katanya.

Tambahnya, KWSP mengalu-alukan inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan seperti penambahbaikan dan lanjutan program i-Saraan melangkaui tahun 2023, memperluas program i-Sayang kepada suami serta melanjutkan program i-Suri dan memperkenalkan caruman padanan serta amaun insentif maksimum kepada golongan isi rumah.

Sementara itu, beliau berkata, KWSP yakin dan percaya bahawa inisiatif-inisiatif tersebut dapat membantu rakyat meningkatkan simpanan persaraan dan memupuk keharmonian serta kesejahteraan dalam keluarga.

“Sebagai sebuah dana persaraan, KWSP menyokong dan akan bekerjasama dengan kerajaan dalam merealisasikan aspirasi Malaysia Madani untuk memastikan kehidupan persaraan rakyat terjamin,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya