AIU masih ada 200 tempat kosong untuk pelajar tempatan - Utusan Malaysia

AIU masih ada 200 tempat kosong untuk pelajar tempatan

ABD. AZIZ TAJUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) masih mempunyai baki 200 tempat kosong untuk ditawarkan kepada pelajar tempatan terpilih bagi melanjutkan pengajian ke universiti itu.

Naib Canselor yang juga Pre­siden AIU, Prof. Emeritus Datuk Dr. Abd. Aziz Tajuddin berkata, ini melalui tajaan biasiswa penuh untuk ambilan sesi Oktober ini.

Katanya, AIU menyediakan peluang pengajian asasi dan ijazah sarjana muda de­ngan tajaan biasiswa penuh oleh Yayasan Albukhary kepada pelajar tempatan yang cemerlang serta menghadapi masalah kewa­ngan bagi menampung pengajian.

“Ketika ini AIU menempatkan 1,126 pelajar dari dalam dan luar negara yang ditaja yayasan tersebut.

“Tajaan biasiswa merangkumi yuran pengajian, penginapan serta elaun makan dan minum berjumlah RM450 sebulan untuk tempoh tiga hingga empat tahun pengajian,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, AIU menyediakan pengajaran dan pem­belajaran serta asrama bersifat kondusif dilengkapi kemudahan terbaik dan terkini kepada setiap pelajar.

“Kami percaya, tajaan biasiswa bagi membantu golo­ngan berkemampuan mendapat pendidikan tinggi mampu ubah nasib mereka serta keluarga ma­sing-masing.

“Dalam masa sama, tindakan itu juga memberi impak besar kepada kerajaan dalam usaha merapatkan jurang kemiskinan di negara ini,” katanya.

Katanya, sebarang maklumat dan pertanyaan lanjut berkenaan biasiswa serta kemasukan, orang ramai boleh menghubungi pihak Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran AIU di talian 04-7747300 atau e-mel ke [email protected],” katanya.

Dalam pada itu katanya, AIU menyifatkan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua universiti tidak menolak kemasukan mana-mana pelajar miskin menunjukkan betapa bidang pendidikan terus diberi penekanan.

Katanya, tindakan itu seiring dengan langkah kerajaan memberi peruntukan tertinggi kepada Kementerian Pendidikan dalam Belanjawan 2024, baru-baru ini.

Menurutnya, penegasan Perdana Menteri juga selari dengan hasrat penubuhan AIU yang selama ini bertindak sebagai sebuah universiti swasta yang tidak bermatlamatkan keuntungan.

“Penegasan sedemikian jelas menunjukkan iltizam kerajaan yang tidak mahu sesiapa pun tercicir daripada menyambung pengajian hanya disebabkan masalah kewangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya