PETALING JAYA: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilantik Pengarah Jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang berlangsung pada Disember depan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu diputuskan dalam Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam.
“Bagaimanapun, nama calon yang bakal mewakili BN akan diumumkan kemudian,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat berkenaan di Menara Dato Onn.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan UMNO Bahagian Kemaman mencadangkan Ahmad yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Kemaman sebagai calon untuk bertanding pada PRK Kemaman nanti.
Menurut sumber, Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu merupakan antara nama yang mendapat sokongan untuk disenaraikan sebagai calon.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 November dan 28 November.
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – UTUSAN