Ahli Parlimen dilarang guna peranti untuk siaran langsung dalam Dewan Rakyat

Ahli Parlimen dilarang guna peranti untuk siaran langsung dalam Dewan Rakyat

JOHARI ABDUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen tidak lagi dibenarkan memasang sebarang peranti bagi membuat siaran langsung dalam Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, keputusan itu dibuat selepas berlaku peningkatan trend ahli-ahli Parlimen memasang peranti seperti telefon bimbit di meja untuk membuat siaran langsung dalam media sosial semasa menyampaikan ucapan ketika sesi persidangan Dewan Rakyat berlangsung.

“Peraturan Mesyuarat 35(1) menghendaki Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk mengarahkan sebarang ucapan kepada pengerusi. Tindakan beberapa Ahli Yang Berhormat berucap dengan tidak mengarahkan ucapan tersebut kepada pengerusi dan memandang peranti yang dipasang jelas tidak mematuhi peraturan tersebut.

“Untuk memastikan Yang Berhormat mematuhi Peraturan Mesyuarat 35(1), saya dengan ini menetapkan bahawa Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak lagi dibenarkan untuk memasang sebarang peranti bagi membuat siaran langsung dalam Dewan Rakyat,” katanya sebelum memulakan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, ucapan ahli-ahli Parlimen boleh ditonton melalui siaran langsung sidang Dewan Rakyat di YouTube rasmi Parlimen Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan media massa yang lain.

Keputusan itu bagaimanapun mendapat tentangan daripada Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang menyifatkan peraturan baharu itu tidak munasabah.

“Alasan yang diberikan adalah terlalu mudah, menghalang ahli Parlimen mengunakan peranti tidak munasabah, kita berada dalam zaman yang mana media sudah sofistikated jadi Parlimen harus bergerak ke arah itu. Penggunaan peranti patut digalakkan dan tidak menjadikan peraturan tertentu sebagai alasan.

“Saya harap ia boleh dirujuk semula dan mengangkat martabat Parlimen dalam penggunaan alat-alat yang lebih sofistikated. Sebagai contoh dalam peraturan mesyuarat, ada mengatakan tidak boleh membaca surat khabar, itu dulu, kerana dulu ada yang membaca surat khabar dalam Dewan, tapi sekarang redundant (ketinggalan zaman). Tidak ada siapa baca surat khabar di Parlimen, semua melihat (surat khabar) melalui peranti dan kita harus bergerak ke arah itu,” katanya.

Johari kekal dengan keputusannya namun terbuka dengan sebarang perubahan kepada peraturan mesyuarat.

“Kalau ada apa-apa yang tidak puas hati, kita ada jawatankuasa, jadi boleh tulis kepada mereka dan akhirnya kita ubah, tak ada masalah, sebab peraturan bukan saya buat, kita semua buat melalui jawatankuasa.

“Saya tahu benda moden teknologi ini bagus, tapi kita ada RTM dan Youtube…cukup. Kalau nak guna apa-apa tujuan video sedia ada boleh modified (reka semula), sebab bila bercakap dengan audien, tumpuan kamu bukan lagi dalam Dewan. Saya perhati dan duduk di atas ini saya nampak, dia betulkan peranti setengah jam, kemudian dia cakap depan peranti, dia tak terus berbincang masalah rakyat dalam dewan.

“Tapi dia berkomunikasi dengan audien, itu tak betul. Jadi, saya minta bila datang ke dewan, kita harus menyelesaikan masalah dan meletakkan keutamaan untuk rakyat. Kepada audien, mereka boleh ambil video dari Youtube dan reka semula, tak ada masalah. Namun, kalau harus ada perubahan, saya alu-alukan melalui perbincangan dalam jawatankuasa supaya boleh ubah peraturan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya